EKONOMI

Sc Anjur Persidangan Scxsc Fintech Pada 31 Mei Depan

25/05/2023 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Agrobank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menganjurkan Persidangan SCxSC Fintech pada 31 Mei, 2023.

Bertemakan "GROW” - Memupuk Kewangan Inovatif dalam Pertanian", Persidangan SCxSC Fintech tahun ini bertujuan untuk meneroka dan memanfaatkan peranan saluran pembiayaan alternatif dalam menangani keperluan pembiayaan sektor pertanian.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata persidangan itu adalah satu cara untuk menghubungkan pelabur, usahawan tani, syarikat pemula niaga teknologi pertanian, teknologi kewangan pertanian, agensi berkaitan, perniagaan tani dan pembina ekosistem untuk bekerjasama serta memupuk penyelesaian pembiayaan yang inovatif bagi meningkatkan pembangunan pertanian.

“Sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia sangat terdedah kepada kejutan global dalam rantaian bekalan makanan, justeru produktiviti pertanian Malaysia juga melihat ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

SC berkata kelewatan dalam melaksanakan transformasi pertanian boleh menimbulkan cabaran kepada ekonomi negara untuk beralih ke status lebih tinggi dan mungkin menghalang kemajuan dalam mencapai kemakmuran bersama antara masyarakat luar bandar dan bandar.

“Pembiayaan ialah tonggak utama ke arah transformasi pertanian kami dan capaian pembiayaan tradisional kepada petani kecil dan terutamanya pemula niaga teknologi pertanian kekal mencabar,” tambahnya.

Sehubungan itu, pembiayaan alternatif boleh memainkan peranan dengan menjadi jambatan kepada pelabur untuk membiayai pertumbuhan sektor pertanian Malaysia.

SC berkata persidangan itu akan menampilkan penceramah terkenal antaranya ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Pegawai Strategi Agrobank, Mohamed Taufik Mahamad Zakaria.

Maklumat lanjut untuk persidangan itu boleh diperoleh dengan melayari https://www.scxsc.my/ dan mengikuti akaun rasmi media sosial SC untuk mendapatkan kemas kini dan pengumuman lanjut di LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan