JENAYAH & MAHKAMAH

Aktiviti Perlombongan Haram Nadir Bumi Dikesan Di Kuala Pilah - Aminuddin Harun

24/05/2023 10:59 PM

SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) -- Satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di atas dua lot tanah milik, dikesan di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata aktiviti berkenaan ditemukan menerusi aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei, sebelum siasatan bersepadu dijalankan pihak berkaitan.

“Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ, iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah, tetapi banyak menggunakan proses kimia.

“Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata susulan itu beberapa sampel diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk analisis makmal, selain turut merampas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera digunakan untuk aktiviti terbabit.

Aminuddin berkata kawasan terlibat juga disita, bagi menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan dengan siasatan lanjut sedang dijalankan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, bersama-sama agensi terlibat.

Beliau berkata pihaknya mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram itu dibuat secara skala besar dan tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.

“Kerajaan Negeri memandang serius penemuan ini dan akan memastikan pihak terbabit dikenakan tindakan setimpal berdasarkan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan