AM

Kkm Sedia Bentang Ruu Kawalan Produk Merokok Di Parlimen

22/05/2023 12:40 PM

Oleh Afifitri Muhamad

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedia untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam berserta peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok pada mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-15 yang bermula hari ini.

Penasihat Khas Menteri Kesihatan Dr Helmy Haja Mydin berkata RUU itu berkenaan sangat penting demi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua perkara utama iaitu kawalan terhadap produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape, serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“Peruntukan larangan bagi Generasi Penamat Rokok hanya tertumpu kepada larangan membeli dan menggunakan, manakala larangan menyimpan atau memiliki rokok atau vape telah digugurkan berdasarkan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Bagi peruntukan larangan ini mereka (yang) bakal terkesan adalah termasuk mana-mana orang yang lahir pada 1 Jan 2007 iaitu pada ketika ini berumur 16 tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Dalam masa sama, beliau berkata RUU berkenaan adalah bagi mengawal produk rokok merangkumi kawalan terhadap pendaftaran, pengiklanan, promosi dan penajaan, pembungkusan dan penjualan.

“Sebarang pelanggaran termasuk penjualan rokok oleh peniaga atau penjual kepada kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan Generasi Penamat Rokok ini akan menjadi suatu kesalahan apabila RUU ini diluluskan kelak,” katanya. 

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori, Hospital Pantai Kuala Lumpur itu berkata hasil perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah menetapkan beberapa pindaan fasal yang berkaitan dengan larangan kepada mana-mana orang yang lahir pada 1 Jan 2007. 

“Berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, denda yang dikenakan telah diturunkan dari RM 5,000 turun kepada RM 500. Peruntukan ini dipertimbangkan agar ia tidak membebankan golongan generasi penamat sekiranya mereka melakukan kesalahan.

“Selain itu, perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan merokok oleh GEG  juga turut diperkenalkan dan akan dilaksanakan setelah akta ini dikuatkuasakan. Perintah ini dimasukkan ke dalam RUU untuk memberikan pendidikan dan menunjukkan peruntukan ini bukanlah bersifat punitif semata-mata,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata isu pemeriksaan badan oleh pegawai penguatkuasa KKM bagi golongan berkenaan diatasi dengan menggugurkan larangan pemilikan dan memantapkan penguatkuasaan secara pendidikan. 

Dr Helmy berkata satu fasal adalah berkaitan Laporan Berkala yang perlu dihantar dan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Parlimen sebelum Jan 2025 dan pada setiap lima tahun.

“Laporan Berkala tersebut adalah mengenai keberkesanan larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok dan apa-apa perkara lain yang berhubungan,” katanya.

Selain itu, beliau berharap dengan penambahbaikan dan syor tersebut, RUU tersebut dapat diterima oleh kesemua ahli Parlimen agar negara dapat melahirkan rakyat yang bebas daripada amalan merokok pada masa akan datang. 

“Sebagai Pakar Perunding Respiratori saya telah melihat ramai pesakit saya yang merana akibat rokok dan vape. Kita sedia maklum banyak komplikasi penyakit akibat penggunaan rokok telah dikesan. Antara komplikasi utama adalah penyakit kronik paru-paru atau chronic obstructive airway disease atau COAD yang menyebabkan pesakit mengalami kesukaran bernafas kerana paru-paru yang rosak.

“Penyakit baharu akibat penggunaan rokok elektronik atau vape telah mulai dikesan iaitu ‘EVALI’ atau electronic vape associated lung injury. Untuk rekod, lebih 30 kes berkaitan penyakit ini telah dilaporkan kepada pihak KKM, malah lebih teruk lagi kesannya bukan hanya dilihat pada pesakit, tetapi isteri dan anak-anak yang turut terseksa," katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan