AM

Ncia Rancang Laksana Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai

19/05/2023 05:28 PM

GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merancang untuk melaksanakan Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di kawasan Seberang Perai demi kepentingan semua pihak.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan NCIA berhubung inisiatif penyuraian trafik di Kawasan berkenaan yang melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan, terutamanya di antara Juru dan Sungai Dua.

“Susulan daripada itu, NCIA sekali lagi telah memohon peruntukan di bawah Rolling Plan 4 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kepada Kerajaan untuk melaksanakan Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai.

“Anggaran kos kajian adalah RM5 juta dan kajian ini akan mengambil masa enam bulan. Ia dijangka akan dibentangkan dalam bajet pada Oktober ini, ia merupakan bajet untuk tahun depan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau bverkata kajian itu hanya boleh dilakukan selepas kelulusan diperolehi daripada kementerian berkaitan.

Chow berkata penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang membabitkan kira-kira 1.3 juta penduduk di tiga negeri utara Semenanjung.

"Semua penambahbaikan hanya akan diketahui selepas kajian dibuat sama ada nak melebarkan jalan, lebuh raya bertingkat atau lain-lain, ini semua terpulang kepada kajian yang dibuat. Kita berharap projek ini bakal memperoleh kelulusan untuk pelaksanaan menerusi Bajet 2024 kelak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan