AM

Tuanku Zara Berkenan Berangkat Ke Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Di Hrpb

19/05/2023 01:47 AM

IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan daripada International Ipoh Fashion Week (IIFW) di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tuanku Zara pada pukul 2.30 petang itu diiringi isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim dan Pengarah HRPB Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid.

Tuanku Zara kemudiannya berkenan melawat Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Wad Unit Dependensi Tinggi Paediatrik (PHDU), Wad Pediatrik Surgikal dan Wad Perubatan Pediatrik.

Sementara itu, Dr Sirajuddin dalam satu kenyataan berkata PICU dan PHDU merupakan pusat rujukan bagi kes kanak-kanak tenat dan serius untuk negeri selain wad menerima kes kanak-kanak dari negeri lain termasuk Pulai Pinang dan Kedah serta pembedahan, ENT (telinga, hidung dan tekak), pergigian, ortopedik, neurologi dan respiratori pediatrik serta pembedahan neurologi.

“Sebanyak 12 buah katil telah disediakan di PICU dan 15 buah katil di PHDU. Penyumbang peralatan perubatan ini iaitu IIFW telah didukung oleh Kerajaan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, Tourism Perak, Tourism Malaysia dan para penaja.

Pelancaran IIFW 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 17 Okt tahun lepas telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM104,883.36 untuk membeli tiga jenis peralatan perubatan iaitu satu set ‘Video Flexible Laryngoscope without Working Channel’, seunit ‘Fabian Therapy Evolution’ dan satu set ‘Pulse Oxymeter with Reporting Software’,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan