AM

Penternakan Ayam Serama Mampu Jana Pendapatan Lima Angka

18/05/2023 12:20 PM

KANGAR,18 Mei (Bernama) -- Membela ayam serama bukan lagi sekadar hobi sebaliknya pada masa sama ia mampu menjana pendapatan tambahan hingga mencecah lima angka.

Presiden Persatuan Ayam Serama Perlis Datuk  Zainie  Abdullah berkata penternakan ayam tersebut dilihat mempunyai potensi besar memandangkan seekor ayam serama boleh dijual pada harga daripada RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada gred, saiz, warna, umur dan baka.

“Saya ada berjumpa dengan ramai penternak ayam serama yang berjaya, mereka pada awalnya membela sebagai hobi dan kemudian menjadikannya sebagai punca pendapatan tambahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya untuk mula membela ayam serama penternak perlu mendapatkan induk yang berkualiti supaya anak ayam boleh dijual pada harga tinggi.

“Induk yang berkualiti adalah ayam yang pernah memenangi mana-mana kejohanan ayam serama. Penternak juga boleh mengunakan kaedah pembiakan baka silang (crossbreeding) bagi mempelbagaikan varieti ayam serama,” katanya.

Beliau berkata baka ayam serama yang popular di Malaysia pada ketika ini ialah jenis ‘H4’ (Hanuman Genersi Keempat) yang berasal dari Kelantan.

“Baka ayam serama ini amat terkenal sehingga menjadi buruan peminat unggas dari Eropah,” katanya.

Zainie berkata modal permulaan bagi penternakan ayam tersebut tidak begitu besar, tetapi apa yang lebih penting adalah minat dan sedikit ilmu tentang penternakan ayam serama.

“Penjagaan ayam serama sebenarnya tidak rumit tetapi mesti ada minat kerana dalam membela apa-apa haiwan, kita perlu ada perasaan kasih sayang,” katanya yang kini mempunyai 1,000 ekor ayam serama.

Menurutnya selain menambah pendapatan, ayam serama boleh memberi ketenangan kepada penternaknya kerana ia cantik dan bergaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan