EKONOMI

Rapid Manufacturing Inc Lancar Kemudahan Baharu Di Kulim

17/05/2023 08:26 PM

ALOR SETAR, 17 Mei (Bernama) -- Rapid Manufacturing Inc, syarikat elektronik global berpangkalan di AS yang mengkhususkan dalam reka bentuk dawai berdasarkan tempahan dan abah-abah kabel, melancarkan kemudahan baharu sebagai sebahagian daripada proses pengembangannya di Kulim hari ini.

Kemudahan baharu itu meneruskan khidmatnya dalam sektor aeroangkasa, telekomunikasi, perubatan, semikonduktor, automotif dan automasi industri.

Dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini, Rapid Manufacturing berkata kemudahan itu juga akan menempatkan sebuah pusat serantau bagi menubuhkan pusat kecemerlangan untuk memacu rantaian nilai syarikat dengan teratur dalam meletakkan dirinya sebagai peneraju industri.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pengembangan pesat kemudahan pengeluaran Rapid Manufacturing yang mengagumkan itu menumpukan kepada permintaan global untuk produknya bagi jangka masa panjang.

“Malaysia pada kedudukan yang baik untuk mengambil peluang ini. Dengan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) negara yang komprehensif dan rantaian bekalan semikonduktor kami yang matang, kemudahan baharu itu dijangka memberi impak positif kepada peluang pekerjaan, memberi faedah kepada masyarakat setempat sambil meningkatkan rantaian bekalan negara bagi memenuhi keperluan industri E&E yang berubah dengan pantas,” kata Arham.

Pengembangan itu juga akan menggalakkan inovasi dalam bidang baru muncul di negara ini, selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP), iaitu mengukuhkan asas-asas ekosistem pelaburan Malaysia, katanya.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata NCIA komited untuk menarik dan memudahkan pelaburan bernilai tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

“Kami berbangga kerana telah memainkan peranan dalam memudahkan pelaburan Rapid Manufacturing dan kami percaya kemudahan baharu ini akan meningkatkan lagi kedudukan rantau ini sebagai destinasi utama untuk pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Haris berkata pelaburan Rapid Manufacturing di Kedah dan Pulau Pinang akan mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan untuk menyokong aktiviti E&E, mesin dan peralatan, teknologi perubatan dan peranti, telekomunikasi, automotif dan industri aeroangkasa dalam NCER.

“Dengan proses yang dimudahkan oleh NCIA melalui pelbagai insentif NCER, kami yakin lebih banyak syarikat akan mengikuti dan melabur dalam NCER, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya.

Pengarah Urusan RPD MFG Connectivity Sdn Bhd, Yogendran Krishnamurthy berkata pelaburan Rapid Manufacturing di Kulim dijangka mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan untuk tenaga kerja tempatan, termasuk sekurang-kurangnya 500 pekerjaan berpendapatan tinggi.

RPD MFG Connectivity ialah anak syarikat Rapid Manufacturing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rapid Manufacturing Luis Espinoza berkata keutamaan syarikat ialah komitmennya untuk memgambil dan melatih bakat tempatan, serta mempertingkatkan program pembangunan vendornya bagi menyediakan peluang yang mencukupi kepada vendor tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan