DUNIA

PM THAILAND PRAYUTH JANJI BUAT YANG TERBAIK SEHINGGA KERAJAAN BAHARU DIBENTUK

16/05/2023 09:09 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata beliau akan melakukan yang terbaik sebagai ketua kerajaan sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Prayuth, calon perdana menteri parti United Thai Nation (UTN) membuat kenyataan sulung itu selepas pilihan raya pada Ahad yang menyaksikan partinya sekadar memenangi 36 daripada 500 kerusi.

Beliau yang akan melepaskan jawatan perdana menteri membuat kenyataan itu kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet.

Prayuth turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana telah melaksanakan hak mereka dan mengucapkan tahniah kepada semua parti politik.

Beliau menyeru rakyat supaya bersatu dalam mempromosi perpaduan untuk pembangunan, kestabilan, kemakmuran dan kelestarian negara.

Bagaimanapun, Prayuth enggan memberikan sebarang komen apabila ditanya mengenai karier politiknya selepas partinya kecundang dalam pilihan raya itu.

Pada pilihan raya itu, dua parti pembangkang - Parti Move Forward dan Parti Pheu Thai - memperoleh 292 daripada 500 kerusi. 

Dengan 99 peratus undi dikira, parti prodemokrasi yang dipacu golongan muda Move Forward mendahului dengan 152 kerusi manakala Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri Thaksin Shinawatra, memenangi 141 kerusi.

Parti Bhumjaithai yang diketuai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul (71 kerusi), Palang Pracharat yang merupakan parti utama gabungan pemerintah yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan (40 kerusi).

Parti-parti di barisan depan sedang berusaha membentuk gabungan untuk menubuhkan kerajaan baharu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan