AM

Sultan Ibrahim Tegur Kebersihan, Persekitaran Flat Kos Rendah Di Johor

15/05/2023 05:51 PM

JOHOR BAHRU, 15 Mei (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini. 

Menerusi hantaran di Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah kebanyakan flat kos rendah di negeri itu berada dalam keadaan daif dan dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa. 

“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’.

“(Justeru), saya berharap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk membaik pulih flat kos rendah yang lama dan penduduk juga mesti bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka” titah baginda. 

Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa baginda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan oleh syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di negeri ini.

“Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.

“Malah perjanjian bersama SWM adalah watertight seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah," titah baginda. 

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene di sini. Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor. 

Baginda turut menegaskan bahawa KPKT perlu mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang disampaikan baginda, demi kepentingan rakyat.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan