Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 15 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) hari ini melancarkan syiling S$10 sempena memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY100).
“Syiling itu sebagai penghormatan ke atas visi strategik, keberanian dan semangat kental Lee yang mengubah Singapura daripada pelabuhan perdagangan serantau kepada hab pembuatan, perniagaan dan kewangan global, mewujudkan peluang untuk semua rakyat Singapura,” menurut bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di https://go.gov.sg/lky100coin-order dari 15 Mei hingga 9 Jun 2023 dan terbuka kepada Warganegara Singapura (SC) dan Penduduk Tetap (PR) sahaja.
“Syiling LKY100 akan tersedia mulai September 2023,” menurut MAS.
Bagaimanapun, syiling yang tidak ditukar sepanjang tempoh kutipan akan dibuka kepada orang awam termasuk bukan warga Singapura.
Syiling berkenaan berwarna emas, ditempa dalam gangsa aluminium berdiameter 30mm.
Reka bentuk bahagian depan syiling memapar dua imej tahun kelahiran Lee '1923' dilihat dari satu sudut dan “2023” ulang tahun kelahirannya yang ke-100 dari sudut lain.
Sementara rekaan di bahagian belakang pula menampilkan potret Lee Kuan Yew berlatarbelakangkan Marina Barrage yang mewakili visinya untuk membina takungan air di bandar, mengukuhkan daya tahan air Singapura.
"Latar belakangnya ialah latar langit daerah kewangan Raffles Place dan dua bangunan warisan yang sudah menyaksikan peristiwa penting dalam sejarah Singapura – Hotel Fullerton (dahulunya dikenali Bangunan Fullerton/Pejabat Pos Besar) dan Galeri Nasional Singapura (dahulunya dikenali Mahkamah Agung dan Dewan Bandaraya)."
Syiling LKY100 direka oleh artis tempatan, Weng Ziyan.
Untuk maklumat lanjut tentang syiling LKY100, orang ramai yang berminat boleh melayari https://go.gov.sg/lky100coin
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan