EKONOMI

Sarawak Mahu Tampil Sebagai Ibu Kota Legasi Pertama Acara Perniagaan Di Malaysia, Borneo

13/05/2023 03:29 PM

KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu meletakkan Sarawak sebagai ibu kota legasi pertama bagi acara perniagaan di Malaysia dan Borneo.

Beliau berkata ini susulan langkah Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Nusantara, Kalimantan yang akan memacu pembangunan baharu di Borneo.

“Kita tidak boleh lagi membataskan pemikiran kita semata-mata kepada Sarawak sahaja. Kita mesti mengamalkan perspektif lebih luas yang menggabungkan peluang yang ada di Borneo.

“Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara telah membangun dan apabila selesai, industri acara perniagaan kita sewajarnya bersedia untuk merebut peluang ini,” katanya ketika melancarkan Anugerah Anak Sarawak ke-10 2023 di sini malam tadi.

Menurutnya acara perniagaan akan menjadi penyumbang kukuh kepada pembangunan sosial dan keluaran dalam negara kasar Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata Business Event Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri akan melancarkan Pelan Tindakan Induk Impak Legasi pada pameran perdagangan IMEX di Frankfurt, Jerman pada 23 hingga 25 Mei ini.

Selain itu, beliau berkata, program Anugerah Anak Sarawak akan digantikan dengan Anugerah Pencetus Legasi Borneo yang memberikan penghormatan kepada pemimpin acara perniagaan yang mempamerkan kecemerlangan dalam legasi kepimpinan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan