AM

Penubuhan Pejabat Majlis Daerah Membakut Seharusnya Ditangguh, Diteliti Semula - Armizan

12/05/2023 05:44 PM

PAPAR, 12 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali meminta kerajaan Sabah supaya menangguhkan pewujudan Pejabat Majlis Daerah Membakut dan meneliti semula beberapa perkara, khususnya yang berkaitan dengan persempadanan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti semula  kerana ia akan mendatangkan beberapa masalah kepada kedua-dua Majlis Daerah Papar dan Majlis Daerah Membakut akibat persempadanan yang baharu, khususnya yang berkaitan soal pungutan cukai.

“Kita sudah maklum bahawa Pejabat Daerah Membakut telah diwujudkan dan beroperasi, dengan kos-kos yang digunakan adalah daripada kerajaan, namun ia berlainan dengan kos pengoperasian Pejabat Majlis Daerah Membakut yang bergantung kepada pungutan cukai," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Daerah Papar, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya Pejabat Majlis Daerah Membakut diwujudkan pada ketika ini, maka kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan untuk kos pengoperasian kedua-dua pejabat majlis daerah Papar dan Membakut.

Armizan berkata pada masa ini kos pengoperasian termasuk pembayaran gaji dan elaun kakitangan Pejabat Majlis Daerah Papar bergantung kepada pungutan cukai, dan apabila Pejabat Majlis Daerah Membakut mula beroperasi, ia pasti akan menimbulkan kesukaran kerana pungutan cukai bagi pejabat Majlis Daerah Papar nanti akan berkurangan secara drastik.

“Ini kerana ada kawasan yang menyumbang cukai yang besar akan berada dalam kawasan Membakut, sebab itu kita mahu perkara ini diselesaikan terlebih dahulu, kalau boleh ia dapat memuaskan hati kedua-dua pihak dan seterusnya tidak akan menyusahkan kerajaan kelak," tambahnya.

Papar dan Membakut merupakan daerah di kawasan Pantai Barat Sabah masing-masing terletak sekitar 40 kilometer dan 94 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan