Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pemain pasukan bola sepak cacat penglihatan, Mohd Azwan Azhar sanggup meninggalkan pekerjaannya dan gaji yang lebih tinggi demi beraksi untuk negara, dengan harapan kehidupannya akan berubah menerusi sukan.
Beliau sebelum ini bekerja sebagai tukang urut di Gombak dengan gaji sekitar RM1,500 hingga RM1,800, namun sudi melepaskan kerja itu dan berlatih dengan pasukan negara dengan elaun yang lebih rendah.
Pemain berusia 29 tahun dan berasal dari Desaru, Johor itu bertekad untuk merampas kembali pingat emas acara bola sepak orang buta atau bola sepak 5-sebelah Sukan Para ASEAN (APG) daripada Thailand pada temasya kali ini di Kemboja bermula 3-9 Jun ini.
“Sanggup meninggalkan kerja kerana minat dan ini mungkin peluang untuk pergi lebih ke depan (dalam kehidupan). Sasaran kita adalah meraih emas, tetapi kita perlu hadapi cabaran Thailand,” katanya yang hilang penglihatan sejak berusia 14 tahun selepas satu insiden ketika lumba lari.
“Dalam bola sepak orang buta ini, kita akan menggunakan bola yang mengeluarkan bunyi untuk menentukan lokasi bola itu, manakala pemain akan menggunakan signal seperti panggilan atau tepukan untuk berkomunikasi dengan rakan sepasukan,” katanya kepada Bernama semasa lawatan Ketua Kontinjen APG Noor Syahieda Mat Shah di sini hari ini.
Malaysia merupakan juara edisi 2015 di Singapura, namun hilang kejuaraan kepada Thailand ketika menjadi tuan rumah edisi 2017 apabila berpuas hati dengan tempat ketiga. Edisi 2019 di Filipina dibatalkan, manakala acara itu tidak dipertandingkan pada edisi 2022 di Solo, Indonesia.
Acara itu dimainkan oleh lima pemain, dengan empat pemain yang mengalami kecacatan penglihatan akan menutup mata, manakala penjaga gol boleh melihat dan memberikan arahan kepada rakan sepasukannya.
Sementara itu, ketua jurulatih Sunny Shalesh berkata skuad kendaliannya menghadapi cabaran besar kerana empat pemain utama mengalami kecederaan, termasuk masing-masing seorang pemain yang patah kaki dan bahu terkehel pada sesi latihan pagi tadi.
“Sangat mencabar… kami mampu berhadapan keadaan cuaca (cuaca panas pada masa ini) namun sukar untuk menangani kecederaan, yang biasa berlaku dalam sukan. Mereka bermain dengan hati dan telinga, jadi risiko untuk mereka cedera sentiasa ada.
“Namun, kami masih mampu menghantar pasukan yang bagus, semuanya pemain berpengalaman. Kebanyakan pemain ialah pakar refleksologi, ada antara mereka yang meletak jawatan untuk bermain demi negara, itulah semangat mereka, sehingga mereka digelar ‘Harimau Buta,” katanya.
Pasukan itu mula menjalani kem latihan sepenuh masa dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menyediakan tempat latihan, makanan dan tempat tinggal sejak 1 April lepas, manakala sebelum itu mereka menjalani latihan sehari seminggu.
Selain APG Kemboja, pasukan itu juga akan beraksi di Piala Antara-Benua Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa di India pada September dan Sukan Para Asia di China pada Oktober tahun ini.
Dalam pada itu, pasukan bola sepak (Cerebral Palsy) atau 7-sebelah, turut berhasrat untuk mara ke final pada APG Kemboja, selepas terpaksa akur dengan pingat gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, kata jurulatihnya, Asnan Md Zuki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial