JENAYAH & MAHKAMAH

Kpdn Selangor Patahkan Sindiket Jual Kasut Tiruan Bernilai Rm800,000

08/05/2023 07:33 PM

KLANG, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini mematahkan kegiatan satu sindiket menjual kasut tiruan berjenama bernilai RM800,000 secara dalam talian, disyaki beroperasi sejak tahun lepas di Taman Sejati di sini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN negeri Mohd Khairi Jamaludin berkata kira-kira 4,000 pasang kasut yang diimport dari luar negara disimpan di sebuah premis rumah kedai yang disewa sindiket berkenaan sebelum menjualnya menerusi media sosial dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang. 

Beliau berkata, operasi melibatkan lima anggota termasuk pegawai yang dilakukan pada pukul 1 tengah hari tadi adalah berdasarkan hasil daripada maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan pihaknya selama sebulan.

“Ketika serbuan tadi, kita terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis berkenaan yang dijaga seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dan menemui kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019. Lelaki itu akan ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Kita akan membuat siasatan lanjut sama ada sindiket ini mempunyai rangkaian lain dan mengenal pasti pemilik sebenar perniagaan ini. Semua rampasan ini akan dibawa ke Stor Eksibit KPDN Selangor bagi tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019  dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan