POLITIK

Saarani Tepis Khabar Angin Adun Lompat Parti

06/05/2023 04:46 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan khabar angin bahawa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu yang akan melompat parti, sekali gus menyebabkan berlakunya peralihan tampuk pentadbiran Julai ini.

Beliau berkata hal itu tidak berasas kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti pada 29 Dis tahun lepas.

“Di Perak, ada 59 kerusi dan untuk tubuhkan kerajaan negeri perlu ada sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN serta mendapat perkenan Sultan Perak.

Ad Banner

“Sekarang, pembangkang ada 26 kerusi dan kerajaan pula ada 33 kerusi, jadi mereka (pembangkang) perlu cari lagi empat kerusi untuk menjadi kerajaan. Persoalannya, empat kerusi ini mahu cari di mana? Kita ada Akta Lompat Parti, jika 'lompat', maka kerusi itu perlu dikosongkan dan diadakan semula pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Meru Perdana 2, hari ini.

Saarani turut menasihati ADUN supaya membuat pertimbangan sewajarnya selain tidak termakan tawaran yang boleh membelakangkan hak serta kepentingan rakyat.

“Tapi saya yakin, baik ADUN Pakatan Harapan (PH) ataupun Barisan Nasional (BN) tiada yang teruja untuk melompat parti. 

"Rakyat di negeri ini jangan susah hati, insya-Allah kerajaan ini kukuh sehingga tamat tempoh," katanya.

Sebelum ini, PAS menafikan wujud gerakan daripada parti itu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan di Perak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini diadakan serentak dengan PRN di enam negeri lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan