BANGKOK, 6 Mei (Bernama) — Diaspora Malaysia di Bangkok, Thailand, menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nantikan untuk menikmati juadah Malaysia, sekali gus merasai kemeriahan hari lebaran di luar negara.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Hotel Butik Baan Thai pada Sabtu.
Sambutan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan tradisional Raya yang istimewa, beramah mesra sesama mereka, dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Kira-kira 250 orang termasuk pegawai kedutaan dan ahli keluarga mereka, Kakitangan Pengambilan Tempatan (LRS), rakyat Malaysia dan beberapa tetamu jemputan menghadiri sambutan itu.
Pelbagai juadah disajikan buat para tetamu termasuk Nasi Briyani, Lemang dan Rendang, Ayam Masak Merah, Kuih Lapis Sarawak, termasuk Kuih Raya.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isteri, Datin Catherina Cherian Samuel turut mengagihkan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang yang hadir.
Dalam ucapannya, Jojie menggalakkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Thailand mengekalkan semangat perpaduan dan memupuk sikap ihsan, belas kasihan dan berbudi bahasa serta membantu tanpa mengira kaum dan agama selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa menjaga nama baik negara.
“Masyarakat berbilang agama dan budaya Malaysia adalah satu aspek yang unik dan perlu dihargai.
“Ia telah memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Malaysia dan menjadikannya tempat yang benar-benar unik dan istimewa di dunia.
“Justeru, Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk kita memupuk perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan semua anggota masyarakat,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial