AM

JAWATANKUASA PRO-TEM KAJI KEPERLUAN MASUKKAN SPRM DI BAWAH SELIAN EAIC

02/05/2023 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Beberapa cadangan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) antara yang diteliti dalam sesi perbincangan pengukuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pertama, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sesi itu membincangkan mandat Perdana Menteri mengenai cadangan mewujudkan badan bebas baharu dan/atau pengukuhan EAIC bagi memantau salah laku agensi penguatkuasaan.

“Antara perkara yang telah dibincangkan adalah penubuhan Jawatankuasa Pro-tem yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 19 April 2023.

“Jawatankuasa Pro-tem ini akan, antara lain mengkaji keperluan memasukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan yang disenaraikan di bawah seliaan EAIC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Azalina berkata Jawatankuasa Pro-tem itu  akan mengadakan sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta badan bukan kerajaan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri amat komited dalam mewujudkan sebuah badan benar-benar bebas yang mempunyai kuasa kawalan tatatertib yang efektif dan berkesan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) hari ini dihadiri Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan wakil EAIC, BHEUU, Jabatan Peguam Negara (AGC), SPRM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri.

EAIC ditubuhkan melalui Akta 700 yang telah diwartakan pada 3 Sept 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Ketika ini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan disenaraikan di bawah Jadual Akta 700 dan pemakaiannya kepada SPRM telah dikecualikan melalui peruntukan di bawah subseksyen 1(5) Akta 700.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan