TUARAN, 1 Mei (Bernama) -- Pesta Kaamatan wajar dijadikan platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya terutama di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain mempromosi dan melestarikan tradisi serta adat antaranya melalui tarian, muzik serta pakaian tradisional, beliau berkata Pesta Kaamatan memainkan peranan untuk membina jambatan persefahaman melalui perkongsian tradisi serta adat bagi difahami antara satu sama lain.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan, kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.
“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini,” katanya dalam ucapan majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan 2023 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri. Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup rakyat dapat terus diperkukuh dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia MADANI menerusi perayaan Pesta Kaamatan.
Beliau berkata dalam tempoh sebulan sambutan itu hingga acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei ini, berbagai-bagai acara akan diadakan di seluruh negeri malah di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, justeru beliau mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menyertai acara yang diadakan.
Dalam pada itu, Hajiji juga meminta kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah supaya meningkatkan usaha mereka dalam mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing.
“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diwarisi sejak turun-temurun. Kekalkan kelangsungan bukan sahaja identiti budaya malah bahasa etnik masing-masing untuk anak bangsa akan datang.
“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial