AM

Rezeki Kemarau: Sungai Manal Jadi Tumpuan Cari Siput Sedut, Etak

01/05/2023 01:13 PM

Oleh Azli Shafii

TANAH MERAH, 1 Mei (Bernama) -- Di sebalik fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini,  paras air Sungai Manal di sini yang menjadi semakin cetek, telah memberi rezeki kepada penduduk kampung tersebut untuk memperoleh hasil siput sedut dan etak.

Penduduk Kampung Manal, Rohimah Yusof, 75, berkata paras sungai tersebut hanya berada pada paras buku lali sejak beberapa minggu lalu.

Bercakap kepada Bernama, Rohimah berkata sepanjang cuaca kering melanda, dia turun setiap hari ke Sungai Manal mencari siput sedut dan etak untuk dijadikan hidangan buat keluarganya.

"Sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah kini boleh diibaratkan sebagai 'pasar sementara' buat saya, jika mahu mencari siput sedut, etak atau ikan kecil saya tidak perlu susah payah ke pasar kerana sungai cetek dan mudah untuk mendapatkan hasil sungai," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Bercerita lanjut sumber rezeki sungai itu, Rohimah berkata dia mampu memperoleh tiga hingga lima kilogram (kg) siput sedut dan etak setiap hari.

"Siput sedut ini mudah dicari ketika air sungai cetek kerana ia melekat pada kayu atau memang berada di kawasan air cetek tidak seperti etak kita perlu korek pasir dahulu untuk memperolehnya.

Bagi Suhaimi Abdullah, 45, selain dijadikan sajian seperti masak lemak lemak cili api, siput sedut yang diperoleh itu turut diberikan kepada itik ternakannya.

"Siput sedut ini dijadikan makanan tambahan kepada itik ternakan sekali gus dapat menjimatkan kos untuk memberi dedak sepanjang musim kemarau ini.

"Setiap hari, saya mampu mencari antara lima hingga 10 kilogram siput sedut untuk disimpan sebagai sumber makanan buat 100 ekor itik penelur yang diternak di belakang rumah saya," katanya.

Seorang penduduk Hafizan Seman, 35, berkata penduduk menggunakan jaring serta beberapa peralatan lain seperti penutup kipas dan tudung saji untuk mencari siput sedut dan etak di sungai tersebut.

"Rata-rata penduduk akan datang ke sungai ini untuk mencari siput sedut dan etak pada sebelah petang kerana cuaca kurang panas berbanding tengah hari," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan