Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) sebagai alternatif kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), disifatkan sebagai pragmatik dan seiring dengan keperluan semasa kebanyakan negara-negara rantau ini.
Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata sekarang juga merupakan masa yang tepat untuk pembuat dasar mempertimbang penubuhan organisasi pelbagai hala baharu yang dapat menyedia serta meningkatkan pembangunan, pertumbuhan dan kestabilan.
“Pasaran kewangan global telah berubah sejak 16 tahun lepas. Ketidakstabilan ekonomi global dan kewangan yang mudah terjejas hanya semakin mendalam di pasaran dengan kesannya terhadap ekuiti dan bon dalam magnitud yang tidak pernah dilihat dalam tempoh sedekad.
“Ekonomi global kini di persimpangan kritikal dan banyak negara bakal menyaksikan pertumbuhan perlahan atau negatif...oleh itu persoalannya adalah bagaimana pemimpin global dapat membawa kestabilan dan pertumbuhan untuk ekonomi?” katanya kepada Bernama.
Shan turut membangkitkan realiti mengenai pelabur global dan institusi yang sebaliknya banyak bergantung kepada pandangan bank-bank terkemuka seperti Blackrock, JP Morgan, Bank of America, UBS, Goldman Sachs and Citibank dalam membuat keputusan strategik untuk portfolio pelaburan masa depan mereka.
“(Namun), amat penting bagi pelabur pintar dan sofistikated ini mengukur gambaran sebenar untuk memahami sepenuhnya apa yang sedang berlaku dan membuat kesimpulan ekonomi dan kewangan yang sewajarnya,” katanya.
Ditubuhkan pada 1944 di akhir Perang Dunia Kedua, IMF dan Kumpulan Bank Dunia adalah dua institusi pusat yang turut menekankan dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam sistem kewangan global.
Bank Dunia misalnya bekerjasama dengan negara-negara sedang membangun bagi mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kemakmuran bersama manakala IMF bermatlamat menstabilkan sistem kewangan antarabangsa selain bertindak sebagai ‘pemantau mata wang dunia.’
Bagaimanapun, kalangan pengkritik mendakwa IMF dan Bank Dunia sebagai institusi yang beroperasi mengikut telunjuk AS yang mahu mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa besar tunggal dunia dari segi ketenteraan serta kewangan menerusi dolar AS.
Shan berkata ketika pertumbuhan global kini beralih ke Asia, pihak-pihak seperti Majlis Kerjasama Teluk serta Afrika dan negara-negara Asia sebaliknya kian memerlukan sokongan, terutama dalam bidang infrastruktur, teknologi, pendidikan, pembuatan dan e-dagang.
Menurutnya, Asia memerlukan pelaburan kira-kira US$2 trilion dalam aspek infrastruktur manakala pendidikan (US$300 bilion-US$500 bilion); teknologi (US$3 trilion); pembuatan (US$1 trilion-US$2 trilion) dan e-dagang (US$500 bilion).
“Institusi seperti AMF dapat memacu rantau ini bagi tujuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Asia.
“Pelaburan ini hanya boleh disalurkan oleh institusi berpangkalan di Asia yang benar-benar memahami ekonomi, budaya dan rakyat tempatan untuk menyokong prospek ekonomi Asia meliputi pertumbuhan, pembangunan dan kestabilan tanpa sebarang ikatan," katanya.
Justeru, beliau berpendapat bahawa negara-negara seperti China, Jepun, Korea, Brunei, Singapura, Malaysia, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait boleh berperanan sebagai anggota pengasas bagi memulakan proses penubuhan AMF yang bertujuan memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.
AMF juga boleh menjadi antara institusi kewangan pelbagai hala terkemuka yang komited serta berdedikasi kepada pertumbuhan ekonomi Asia, sekali gus mengundang era kemakmuran dan peningkatan kalangan di peringkat makro, katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa usaha pelaburan dalam bidang pendidikan menjadi teras pembangunan strategik rantau ini, termasuk penekanan dalam pendidikan wanita yang mempunyai kaitan langsung dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sesebuah negara.
“Malah, kami mempunyai kajian kes di China, Korea dan Jepun yang menunjukkan aspek literasi wanita ini memberi sumbangan kepada teras pertumbuhan negara terbabit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial