AM

Rumah Terbuka Malaysia Madani Diharap Dapat Eratkan Lagi Hubungan Kerajaan Kedah Dan Persekutuan - Fahmi

29/04/2023 03:48 PM

ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Kedah hari ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata suasana yang dilihat pada rumah terbuka itu sangat positif serta meriah, ditambah dengan kehadiran Perdana Menteri yang turut beramah mesra menyantuni pengunjung.

"Harapan saya dari suasana yang sangat positif ini, hubungan silaturahim dalam kalangan dan sesama rakyat Kedah dapat dieratkan, dan juga hubungan antara kerajaan negeri (Kedah) dan Kerajaan Persekutuan akan bertambah baik, insya-Allah saya percaya.

"Saya lihat Perdana Menteri juga banyak meluangkan masa... beliau tiba sejam awal ke lokasi untuk bertemu dengan semua yang hadir, pergi khemah ke khemah, meja ke meja untuk melihat sendiri, dan itu adalah memang stail Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka itu di Hotel Raia di sini hari ini.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk berangkat ke majlis hari ini.

Antara Menteri Kabinet yang menghadiri rumah terbuka itu adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu Fahmi berkata penganjuran rumah terbuka itu di enam negeri termasuk Kedah itu tidak ada kaitan dengan politik, sebaliknya ia dianjurkan bagi tujuan mendekati rakyat dan memahami permasalahan mereka.

"Sudah pasti dalam keadaan (sambutan) Aidilfitri di Putrajaya (Seri Perdana) sahaja, sukar bagi mereka yang di Kedah untuk datang bersama. Jadi niat Perdana Menteri sebagai seorang yang sangat berjiwa rakyat, bukan retorik, itu adalah realiti beliau, maka harapan beliau adalah untuk pergi ke negeri-negeri.

"Sebagai contoh esok beliau akan ke Sabah. Walaupun Sabah tidak dinyatakan dalam senarai tetapi beliau pergi dan akan bersama-sama dalam program sambutan Aidilfitri di negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau percaya rakyat akan memberikan peluang kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar dalam PRN nanti kerana melihat prestasi positif sepanjang tempoh enam bulan menerajui kepimpinan di Putrajaya, antaranya masalah inflasi terkawal setakat tempoh itu.

"...inflasi telah menurun ke 3.4 peratus bulan lepas, ini adalah satu petanda awal yang positif, dan banyak dasar yang sedang dilaksanakan untuk memudahkan sama ada perniagaan ataupun mengurangkan apa yang disebut sebelum ini sebagai kerenah birokrasi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan