EKONOMI

Aneka Jaringan Dapat Projek Rm30.28 Juta Di Melaka

28/04/2023 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Aneka Jaringan Holdings Bhd, firma pakar pembinaan asas dan bawah tanah telah memperoleh projek bernilai RM30.28 juta daripada Reliacon Sdn Bhd untuk kerja-kerja cerucuk berkaitan dengan projek pangsapuri khidmat serta pejabat yang terletak di Bandar Melaka. 

Projek itu melibatkan kerja-kerja pemasangan satu blok pangsapuri khidmat 41 tingkat, satu blok pangsapuri khidmat 40 tingkat, satu blok pejabat 15 tingkat, tempat letak kereta tujuh tingkat dan ruang komersial satu tingkat.

Aneka Jaringan dalam satu kenyataan berkata projek itu akan bermula pada Mei dan dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

"Kumpulan semakin mendapat pekerjaan kerana kami memberi tumpuan kepada pasaran kami di Malaysia dan Indonesia. 

"Ini akan memperbaharui semula tempahan dalam tangan kami dan membantu kumpulan dalam meningkatkan prestasi barisan teratas serta keuntungan sambil menyumbang secara positif kepada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 dan 31 Ogos 2024," kata Pengarah Urusan Aneka Jaringan Pang Tse Fui. 

Kumpulan itu akan terus mendapatkan projek daripada sektor kerajaan dan swasta di Malaysia dan Indonesia selain menjangkakan perancangan projek yang kukuh.

Aneka Jaringan mempunyai tempahan dalam tangan berjumlah RM137 juta setakat 30 Nov 2022, dengan operasi Malaysia menyumbang RM124 juta dan operasi di Indonesia memberikan sebanyak RM13 juta. 

Setakat 31 Mac 2023, tempahan dalam tangan kumpulan itu berada pada paras RM1.19 bilion, dengan tender di Malaysia bernilai RM1.12 bilion dan tender di Indonesia mencecah RM68 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan