PEKAN, 28 April (Bernama) -- Sebuah kolej kediaman berkonsepkan wakaf atau dikenali Kolej Kediaman Mawaddah bernilai RM5 juta telah siap dibina di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kemudahan percuma yang memanfaatkan 220 pelajar asnaf itu adalah inisiatif pihak pengurusan UMP bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
“Penyediaan kediaman secara percuma ini merupakan usaha yang pertama kali dibuat di negara ini, justeru, saya berharap institut pengajian tinggi (IPT) lain boleh mencontohi pendekatan UMP.
"Saya difahamkan pelajar asnaf tidak hanya ditempatkan di Kolej Kediaman Mawaddah tetapi mereka akan tinggal di beberapa kolej kediaman lain bagi meluaskan pergaulan dan pengalaman mereka sepanjang menuntut di UMP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolej kediaman itu di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata beliau percaya pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan negeri dapat membantu IPT lain yang berminat untuk melaksanakan konsep sama pada masa hadapan dan ia juga tidak hanya tertakluk kepada pembinaan kolej kediaman pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata UMP telah menyumbang kos pembinaan kolej kediaman berkenaan sebanyak RM3 juta manakala RM2 juta lagi adalah hasil kutipan pemberi wakaf lain.
"Ia menempatkan sebanyak 110 bilik kediaman pelajar yang kondusif dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, sokongan akademik, aktiviti sosial, kegiatan sukan dan kebajikan.
"Kolej Kediaman Mawaddah ini dibuka kepada semua pelajar berkeperluan tetapi keutamaan diberikan kepada kumpulan pelajar asnaf dan anak yatim," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial