EKONOMI

Marii Kembali Dengan Malaysia Autoshow 2023 Pada 4-7 Mei

28/04/2023 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganjurkan pameran Malaysia Autoshow pada 4 hingga 7 Mei ini dengan tema “Mobility Redefined”.

Menurut kenyataan hari ini, MARii memaklumkan sebanyak 90 pempamer yang memaparkan lebih 100 jenama akan mengisi lima dewan pameran utama di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) tahun ini, termasuk pelbagai acara tambahan di bawah pameran automotif itu seperti Malaysia EV Show and Charged, Malaysia Bike Show dan Premium Hall.

Pameran automotif yang akan diadakan di MAEPS itu akan meningkatkan tumpuan terhadap model kenderaan elektrik (EV), serta perbincangan dan teknologi berkaitan dengan ekosistem EV di Malaysia.

“Laluan pandu uji di sekitar pekarangan MAEPS juga dipanjangkan kepada 4.5 kilometer (km) bagi membolehkan pengunjung benar-benar merasai prestasi dan teknologi lebih 120 model dan varian yang dipamerkan.

“Buat kali pertama, pameran automotif itu akan merangkumi kawasan tunggang uji untuk motosikal, khusus buat peminat dua roda menguji model motosikal terkini,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz berkata pameran automotif itu yang selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) adalah sebahagian daripada usaha dan komitmen syarikat berkenaan mempamerkan kenderaan generasi akan datang dan teknologi berkaitan.

“Autoshow ini ialah inisiatif penting untuk memasukkan orang ramai ke dalam ekosistem automotif kerana mereka merupakan pihak berkepentingan kami untuk mendapat manfaat daripada NAP2020.

“MARii menggalakkan orang ramai berkunjung ke acara ini dan menjadi sebahagian daripada perbincangan tentang bagaimana mobiliti boleh ditakrifkan semula bagi memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.

Azrul Reza berkata pameran automotif itu kini lebih mudah diakses berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kami memahami bahawa kebolehcapaian ialah perkara penting yang dipertimbangkan pada waktu ini, justeru kami menawarkan kemasukan ke Malaysia Autoshow 2023 pada harga RM15, pengurangan 25 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang memenangi kereta Alza terbaharu daripada Perodua, penaja Platinum pameran itu, sebagai hadiah cabutan bertuah tahun ini.

Layari https://autoshow.com.my/ atau mana-mana saluran media sosial Facebook dan Instagram untuk mengetahui maklumat lanjut tentang Malaysia Autoshow 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan