KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkongsi khabar duka pemergian penyanyi kumpulan XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim, atau Mael, yang meninggal dunia malam ini.
Fahmi berkata sebagai antara jutaan peminat penyanyi kumpulan rock itu, beliau mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia sebentar tadi.
“Saya antara jutaan peminat beliau dan orang sekeliling saya tahu ‘Semangat yang Hilang’ merupakan lagu kegemaran saya. Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Berita kematian Mael, 55, turut dikongsi oleh pengurusnya yang dikenali sebagai Bro Yazid di laman Facebook beliau.
"Innalillahiwainnailaihirojiun, al-Fatihah, penyanyi XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar pukul 9 malam tadi," katanya.
XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai 'Raja Funfair.'
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial