EKONOMI

Petronas Chemicals Akan Jual 25 Peratus Pegangan Dalam Pcfs Bernilai Rm1.25 Bilion

25/04/2023 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) memeterai perjanjian pembelian saham untuk menjual 25 peratus kepentingan ekuiti dalam anak syarikat milik penuhnya Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFS) kepada SMJ Sdn Bhd, syarikat milik penuh kerajaan Sabah bernilai RM1.25 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PCG berkata PCFS akan terus menjadi anak syarikatnya selepas langkah penjualan itu selesai, dijangka pada akhir suku kedua 2023.

“Selepas penjualan itu siap, PCG dan SMJ masing-masing akan mempunyai 75 peratus dan 25 peratus pemilikan dalam PCFS,” kata PCG.

PCFS ditubuhkan pada Oktober 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan loji ammonia dan urea bersepadu, masing-masing dengan kapasiti 735 kilotan setahun (ktpa) dan 1,225 ktpa di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, Sabah.

 PCG berkata kerajaan negeri Sabah telah menyatakan minat untuk memiliki ekuiti dalam PCFS sejak kumpulan itu melaksanakan pembinaan loji ammonia dan urea bersepadu berkenaan.

“Kumpulan telah mempertimbangkan negeri berkenaan sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam PCFS berikutan perkongsian ini akan memberikan keupayaan kepada PCG untuk meletakkan diri sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi negeri untuk penglibatan yang lebih ketara dalam industri petrokimia.

“Selain itu, ia akan memberikan peluang untuk membangunkan hubungan kerja yang teguh dengan Sabah dan mampu melahirkan bidang kerjasama untuk kepentingan bersama,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata kumpulan itu yakin kerjasama berkenaan akan meningkatkan lagi kemajuan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, mewujudkan banyak manfaat ekonomi kepada kelompok masyarakat yang lebih besar di Sabah.

Sementara itu, PCG dalam makluman berasingan berkata Da Vinci Group BV (DVG) mencatatkan prestasi kewangan yang luar biasa dan merealisasikan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak €83 juta (RM1=€4.8938) bagi tahun kewangan 2020.

Ia susulan kos bahan mentah dan inventori yang lebih rendah, selain permintaan pasaran yang kukuh disebabkan gangguan rantaian bekalan dan konflik geopolitik.

Berikutan prestasi kewangan yang luar biasa itu, bahagian peroleh keluar bagi pertimbangan belian telah meningkat sebanyak €70 juta yang menyebabkan semakan semula bagi kos pengambilalihan berjumlah €233 juta.

“Kami gembira dengan keputusan pengambilalihan tersebut setakat ini dan berharap untuk meneruskan pertumbuhan yang berterusan dalam perniagaan ini,” kata PCG.

DVG adalah syarikat liabiliti sendirian berhad yang ditubuhkan di Netherlands dengan operasi global yang melibatkan penjualan semula jenama sendiri, membuat dan menghasilkan silikon, penambah minyak pelincir dan bahan kimia.

Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan itu pada 2019, PCG menerusi Petronas Chemicals International BV milik penuhnya telah menyertai skim peroleh keluar iaitu antara program untuk mengekalkan kakitangan pengurusan utama DVG yang sebelum ini mempunyai 37.4 peratus saham DGV secara kolektif.

Dalam skim peroleh keluar itu, sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus daripada hasil penerima daripada urus niaga itu ditangguhkan selama tiga hingga lima tahun, dengan bayaran akhir adalah berdasarkan nilai ekuiti perniagaan DGV, yang dikaitkan dengan prestasi kewangannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan