Oleh Nurul Izzati Mansor
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Ketiadaan dua badang negara Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin di Sukan SEA, Kemboja Mei ini menjadikan pasukan Malaysia kehilangan dua pingat bagi sukan angkat berat pada temasya berprestij itu.
Negara kini hanya mampu bergantung harap pada Muhammad Erry Hidayat yang menjadi satu-satunya sandaran pingat di temasya dwitahunan itu.
Lebih membimbangkan, Muhammad Erry kini berdepan dua kecederaan iaitu di bahu dan lututnya yang menjadikan atlet berusia 24 tahun itu agak terbatas dalam menjalani latihan sebagai persediaan menjelang Sukan SEA kelak.
Bagaimanapun, badang kelahiran Kuala Lumpur itu berkata perkara tersebut sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau untuk berusaha memburu pingat apatah lagi dengan kehadiran Muhammad Aznil dan Mohamad Aniq yang sentiasa membimbingnya ketika latihan.
“Saya rasa macam ralat sebab lepas satu-satu saya perlu hadap cedera ini tapi saya boleh bertahan, saya akan buat sehabis baik untuk bawa balik pingat untuk malaysia.
“Aznil dan Aniq punca semangat saya. Mereka rakan sparing saya. Kalau mereka tak ada memang saya tak semangat, mereka juga selalu bantu saya dalam latihan,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Erry berkata mereka kini giat menjalani latihan di Surabaya selama sebulan sejak 3 April hingga 1 Mei ini.
Anak bekas jaguh angkat berat negara iaitu Hidayat Hamidon itu juga berkata beliau bakal berdepan laluan sukar untuk mempertahan pingat gangsa yang dimenangi tahun lepas jika bertemu pencabar dari Indonesia dan Thailand.
“Saya nak cuba sama level dengan Rizki Juniansyah dan Erwin (Rahmat Erwin Abdullah)… agak susah kerana nak cuba bertahan dengan cedera yang ada,” katanya.
“Saya punya pesaing semua pemenang Olimpik dan Sukan SEA, untuk (acara) angkat berat ini bagi saya lagi susah saingannya berbanding Komanwel sebab saingan lagi kuat daripada Komanwel,” katanya.
Jurulatih skuad angkat berat Nur Jannah Batrisyah pula berkata beliau optimis Muhammad Erry mampu mempertahan pingat gangsa pada Mei ini.
Beliau berkata selain Muhammad Erry, yang membawa cabaran untuk kategori 73 kilogram (kg), empat atlet bakal dihantar ke temasya itu antaranya Muhammad Danial Dahlan (67kg) Muhammad Hafiz Shamsuddin (89kg) serta dua atlet wanita iaitu Nur Atiqah Mahamad Sobri (59kg) dan Nur Syazwani Radzi (64kg).
Katanya skuad negara akan menjalani latihan pusat di Bukit Jalil bermula 29 April sebelum memulakan pertandingan di Phnom Penh, Kemboja dari 13 hingga 17 Mei depan.
Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas menyaksikan Mohamad Aniq berjaya membawa pulang pingat gangsa bagi acara 55kg manakala Muhamad Aznil merangkul perak dalam kategori 61kg dan Muhammad Erry terpaksa berpuas hati dengan gangsa untuk kategori 73kg lelaki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial