AM

Sumbangan Ayam Dan Beras Ceriakan 200 Penerima Di Dun Klebang

20/04/2023 10:30 PM

MELAKA, 20 April (Bernama) -- Sumbangan seekor ayam dan sekampit beras pada saat Syawal menjelma nyata menggembirakan 200 penerima terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan golongan B40 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang. 

Bagi Rozita Ismail, 35, sumbangan bersama kit makanan itu secara tidak langsung bakal memeriahkan meja hidangannya pada pagi raya ini, tatkala menjamu selera bersama keluarga. 

"Syukur sangat sebab dengan ayam ini, bolehlah saya tambah menu hidangan masa raya nanti terutama jika ada yang datang beraya.

"Paling utama ahli keluarga saya dapat makan rendang ayam," katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Kit Raya yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 

Sementara itu, Dari Mat, 70, berkata bantuan itu membantunya membuat persiapan raya.

"Saya tinggal bersama 10 ahli keluarga yang lain termasuk anak dan cucu. Jadi sangat bersyukur apabila dapat ayam dan beras ini," katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Klebang Besar Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berkata lebih RM40,000 diperuntukkan bagi sumbangan itu.

"Lebih menarik penerima bukan saja terdiri daripada golongan Muslim tetapi semua bangsa dan agama. 

"Kita mahu semangat perpaduan itu diperkukuhkan dan di DUN Klebang, ia direalisasikan menerusi program sebegini," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan