DUNIA

UMAT ISLAM DI SINGAPURA, INDONESIA DAN THAILAND SAMBUT AIDILFITRI PADA SABTU

20/04/2023 09:52 PM

SINGAPURA, 20 April (Bernama) -- Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu.

Di SINGAPURA, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam pengumuman di laman sesawang Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini, berkata: “Mengikut pengiraan astronomi, hilal bagi bulan Syawal tidak muncul pada petang ini selepas matahari terbenam. Ini menandakan esok akan berakhir 30 hari Ramadan.

“Oleh itu, sukacita dimaklumkan bahawa hari pertama Syawal atau Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023”.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua umat Islam di Singapura.

“Saya mohon ampun atas segala kekurangan. Semoga masyarakat Islam kita terus bersatu dalam mengharungi segala cabaran dengan penuh belas kasihan dan empati,” katanya.

Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas berkata Aidilfitri akan disambut pada Sabtu kerana “anak bulan Syawal pada Maghrib di Indonesia tidak memenuhi kriteria”.

Menteri itu merujuk kepada kriteria yang ditetapkan oleh Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) berdasarkan perjanjian pada 2021.

Susulan pengumuman itu, Ramadan akan berlangsung sehari lagi di negara majoriti penduduk Islam paling ramai penduduk dan Syawal disambut sehari selepas itu.

Di THAILAND, Syeikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon turut mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri di negara itu, selepas disahkan bahawa anak bulan tidak kelihatan.

“Oleh itu, saya mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan