AM

Iklan Raya Monsta 'temani Raya' Raih 20 Juta Tontonan Dalam 24 Jam

19/04/2023 08:47 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Iklan raya MONSTA sekali lagi trending pada tahun ini apabila tular di media sosial selepas meraih 20 juta tontonan dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik di pelbagai platform digital MONSTA seperti Youtube, Facebook, Instagram, Twitter dan Tik Tok. 

Menurut kenyataan MONSTA, ‘Temani Raya’ adalah edisi keempat rantaian iklan raya MONSTA selepas ‘Kebenaran Raya’ pada 2019, ‘Memori Eidulfitri’ pada 2021 dan ‘Kembali Aidilfitri’ pada tahun lepas yang meraih 48 juta tontonan di saluran Youtube MONSTA.

“Hashtag #TemaniRaya, #BoboiBoy, #Mechamato, Pian berjaya trending di laman media sosial Twitter di Malaysia dan Indonesia sejurus selepas kemunculan iklan tersebut. 

“Temani Raya juga melonjak ke posisi keenam Youtube Trending dalam hanya 20 jam, manakala di platform Tik Tok pula, hashtag #TemaniRaya digunakan secara aktif oleh sebanyak 16.7 juta kali oleh penonton dan peminat,” kata MONSTA.

Menurut MONSTA, bertemakan ‘Temani Raya’, iklan raya tersebut membawakan kisah Amato dan anaknya Oboi (BoBoiBoy) pergi mengunjungi sahabat baiknya Pian yang kesepian menyambut hari raya keseorangan. 

Kenyataan itu memaklumkan, rata-rata komen menunjukkan rasa teruja penonton apabila dapat melihat watak Pian yang tidak asing daripada siri animasi Mechamato, menjadi seorang jejaka dewasa. 

Gelagat lucu si kecil BoBoiBoy, MechaBot bersama bapanya serta persahabatan yang akrab antara Amato dan Pian dari kecil sehingga dewasa turut menjadi bahan bualan orang ramai, kata kenyataan itu. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA , Nizam Abd Razak, sudah menjadi tradisi untuk MONSTA menghasilkan animasi khas setiap sambutan Hari Raya.

“Bermula dari ‘Kebenaran Raya’ sehingga ke ‘Temani Raya’, setiap animasi ini mengambil masa dan kos yang tinggi. Namun inilah hadiah untuk anda semua,” katanya. 

Sementara Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin, berkata ini adalah bingkisan istimewa daripada MONSTA buat peminat dan penonton yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada MONSTA selama ini. 

Menurut kenyataan itu bagi yang sudah menonton filem Mechamato Movie, mereka pasti dapat merasai kaitan iklan raya MONSTA ‘Temani Raya’ dengan elemen terdapat dalam filem tersebut seperti watak Maskmana, bangunan Mercu Destar dan Kapal Angkasa Wau Bulan yang digunakan oleh watak animasi popular Papa Zola. 

Bagi yang ingin menonton filem animasi nombor satu tempatan itu, Mechamato Movie kini boleh ditonton seisi keluarga pada musim perayaan ini melalui Astro First, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan