AM

Apmm Tahan Bot, Empat Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Negara

17/04/2023 06:09 PM

PASIR PUTEH, 17 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot dan empat nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran, Sabtu lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata bot itu ditahan di kedudukan 161 batu nautika dari muara Tok Bali pada 10.37 pagi.

"Ketika anggota APMM cuba merapati, mereka tidak memberi kerjasama malah cuba melarikan diri ke kawasan sempadan yang memaksa berlaku kejar-mengejar selama 17 minit, sebelum bot itu berhenti kerana kerosakan enjin.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan mendapati tekong dan kru berumur antara 33 hingga 58 tahun tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM di Tok Bali, di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata selain bot, turut dirampas peralatan komunikasi dan pelayaran.

"Nilai rampasan dianggarkan lebih RM1.3 juta. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta  Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) Akta yang sama kerana menangkap atau cuba menangkap ikan secara  haram," katanya.

Sementara itu, Syed Nor Adli berkata APMM Kelantan akan meningkatkan operasi mengawal perairan negara bagi mengelak pihak asing mengambil kesempatan memandangkan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan keadaan laut yang bertambah baik sekarang.

"Untuk itu cuti 30 peratus daripada 160 anggota penguat kuasa akan dibekukan bagi tujuan tersebut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan