AM

BERITA GEMBIRA UNTUK PENGGUNA PELAN PRABAYAR MENJELANG ISNIN - FAHMI

14/04/2023 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mengumumkan berita gembira kepada pengguna pelan prabayar (prepaid) menjelang Isnin ini. 

Beliau berkata pihaknya kini sedang berbincang mengenai perkara itu dengan beberapa syarikat telekomunikasi utama di negara ini untuk dipersetujui. 

“Pada waktu ini saya belum bersedia untuk membuat sebarang pengumuman tetapi harapan saya dalam masa yang singkat ada beberapa perkara dapat kita persetujui insya-Allah saya harap ada berita baik terutama bagi pengguna prabayar, kita akan tahu dua tiga hari, menjelang Isnin ini,” katanya kepada media selepas program Kasih@HAWANA 2023 di sini hari ini.

Mengenai dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu hadapan. 

Fahmi berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas terdapat beberapa perkara yang diminta perdana menteri untuk diteliti.

Ditanya berkenaan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan pejabat Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar  berhubung urusan pengambilan pekerja asing, Fahmi berkata orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa itu menjalankan tugas sebaiknya. 

“Sekiranya ada apa-apa kes yang dibawa ke mahkamah kita akan ikuti (perkembangan) dan sebelum itu kita tak boleh prasangka kerana kita tak ada maklumat yang tepat dan penuh.

“Dan semua menteri telah diminta untuk memberi peringatan (kepada pegawai) dan saya sendiri dalam pasca-Kabinet  ada beri peringatan kepada semua supaya berhati-hati kerana jangkaan adalah tinggi bahawa kerajaan ini komited untuk membersihkan Malaysia daripada gejala rasuah,” katanya. 

Semalam, Sivakumar dalam kenyataan memaklumkan beliau dan kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

Mengenai permohonan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib TunRazak, Fahmi berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan