SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- YNH Property Bhd telah mendapat perintah pembangunan daripada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) untuk perbandaran pembangunan bercampur melibatkan 2,200 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM600 juta.
Pengurus Besar James Ngio berkata perbandaran itu, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Seremban, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi bagi kawasan tersebut selain memenuhi permintaan yang kukuh untuk rumah berkualiti tetapi mampu milik.
“Perintah pembangunan yang kami terima daripada MDKP untuk perbandaran ini di Kuala Pilah merupakan pencapaian penting bagi YNH Property berikutan ia melambangkan kemasukan kami ke Negeri Sembilan, sebuah wilayah pertumbuhan tinggi di Koridor Selatan Greater Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata YNH Property mempunyai rekod prestasi membangunkan 13,000 unit pembangunan bercampur di perbandaran Seri Manjung, Perak sejak 1982 yang telah menarik minat sejumlah besar kediaman, runcit dan komersial serta memacu aktiviti pelancongan di kawasan tersebut.
“Kami berharap dapat membawa kepakaran kami dan rekod prestasi yang baik dalam pembangunan perbandaran ke negeri ini (Negeri Sembilan) dan kami yakin perbandaran baharu ini akan menyumbang ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi yang positif,” katanya.
Beliau berkata pembangunan perbandaran Kuala Pilah dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang dan projek itu juga akan mengukuhkan reputasi YNH Property sebagai pemaju pilihan untuk perbandaran yang berjaya.
Ngio berkata pelan induk projek itu, yang kini sedang dimuktamadkan, akan tertumpu kepada kemampanan, merangkumi konsep “Live, Work, Play” dan hakmilik individu untuk projek itu juga telah diperoleh daripada Pejabat Tanah Kuala Pilah.
Beliau berkata fasa satu projek itu, yang terdiri daripada 500 unit kediaman, dijangka dilancarkan pada suku kedua 2023.
“Terletak berdekatan dengan bandar Kuala Pilah dan Bahau, perbandaran baharu oleh YNH Property akan mempunyai akses kepada kemudahan sedia ada seperti pasar raya besar Lotus’s dan Giant, hospital, restoran, bank dan banyak lagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial