AM

Kuskop Lancar Pelan Transformasi Tingkat Keupayaan Digitalisasi Koperasi - Ewon

07/04/2023 03:06 PM

KOTA KINABALU, 7 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi tidak lama lagi bagi meningkatkan keupayaan digitalisasi koperasi masa kini.

Menterinya Datuk Ewon Ebin Benedick dalam kenyataan berkata pelan tindakan itu juga antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi dan mengguna teknologi secara optimum.

Katanya pelan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi  Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

“Pendigitalan koperasi merupakan antara fokus utama KUSKOP dalam menyediakan program intervensi memulihkan perniagaan koperasi.

“KUSKOP yakin pelan tersebut mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan, bagi meningkatkan pendapatan masyarakat terutamanya golongan B40,” katanya.

Ewon berkata koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi kerana pemasaran melalui platform digital dan pembayaran secara online amat penting dalam norma baharu perniagaan.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata sehingga tahun 2022, sebanyak 1,706 koperasi didaftarkan di Sabah dengan keanggotaan seramai 343,230 orang, manakala syer dan yuran terkumpul adalah RM220 juta.

“Bagi tempoh yang sama, aset terkumpul (koperasi Sabah) bernilai RM826.44 juta dan perolehan sebanyak RM437.15 juta,” katanya.

Beliau berkata seramai 2.78 juta atau 40 peratus daripada jumlah isi rumah seluruh negara merupakan golongan B40 yang mampu ditingkatkan pendapatan mereka dengan gerakan koperasi.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan