AM

GRADUAN UKKM PERLU REBUT PELUANG PEKERJAAN DALAM SEKTOR KOPERASI

05/04/2023 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Peluang pekerjaan dalam sektor koperasi perlu direbut graduan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memandangkan sektor itu kurang mendapat persaingan daripada graduan dari universiti lain.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor berkata selain itu, sektor berkenaan yang berpotensi menjana pendapatan tinggi juga menyaksikan ketika ini ia didominasi oleh golongan tua dan bagi membolehkan ia terus berkembang, penglibatan orang muda juga amat diperlukan.

“Kekurangan ini perlulah diisi dengan generasi baharu bagi memastikan sektor ini tidak lumpuh sekali gus mengembangkan koperasi di semua peringkat dengan meramaikan ahli-ahli dalam kalangan mahasiswa yang mempunyai kelulusan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media, di sini semalam.

Mohd Ali berkata selain itu, bagi memperkasakan mahasiswa terhadap selok-belok industri koperasi, menjalani latihan industri di koperasi besar adalah antara strategi yang telah dirangka untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Koperasi-koperasi juga telah bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar bagi menjalani latihan industri dan sekiranya ada kekosongan kita akan meminta kerjasama mereka untuk menerima para pelajar ini menjadi tenaga kerja di tempat masing-masing,” katanya.

UKKM yang bertaraf swasta ialah hasil gabungan 100 koperasi terbaik negara untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin yang kompeten dan profesional berjaya direalisasikan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kelulusan pada 28 Mac 2022.

Universiti berkenaan yang menawarkan program daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda sehingga doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan, telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan agenda keusahawanan khususnya di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan