Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 2 April (Bernama) -- Perfect Ten, pembangunan mewah pegangan bebas baharu yang terletak di Daerah 10 di Bukit Timah Road, di sini boleh menjadi satu lagi pilihan untuk pembeli hartanah Malaysia.
Dibangunkan oleh CK Asset Holdings, antara pemaju hartanah terbesar di Hong Kong, Perfect Ten terletak di tanah pegangan bebas seluas kira-kira 104,531 kaki persegi.
Direka oleh DP Architects, sebuah firma terkemuka dunia, pembangunan itu terdiri daripada dua menara berkembar mempunyai 230 unit dengan unit dua bilik tidur seluas 753 hingga 797 kaki persegi dan unit tiga bilik tidur daripada 1,227 hingga 1,281 kaki persegi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OrangeTee & Tie Steven Tan, yang mempunyai pengalaman selama lebih 28 tahun dalam perniagaan hartanah, warga asing menyumbang 4.7 peratus daripada pembeli hartanah kediaman persendirian bukan bertanah di Singapura pada 2022.
“Rakyat Malaysia muncul sebagai pembeli hartanah kedua terbesar atau Top 2 mengikut kewarganegaraan di sini,” katanya pada sesi media Perfect Ten yang diadakan baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, Tan berkata permintaan untuk hartanah kediaman persendirian amat tinggi di Singapura berikutan negara itu “dilihat sebagai lokasi selamat untuk pelaburan hartanah atas beberapa faktor seperti kestabilan politik dan mata wang yang kukuh.”
Harga hartanah di Singapura meningkat secara berperingkat semasa pandemik COVID-19 dan Tan melihat “pertumbuhan sekitar 4.0 peratus pada tahun ini.”
Beliau berkata sebanyak 20 peratus daripada hartanah kediaman di Singapura adalah hartanah persendirian.
Sehingga 7 Feb 2023, Perfect Ten, sebagai jenis projek jualan baharu, mencatatkan 177 urus niaga yang baik dengan harga median sebanyak S$2,979 (S$1=RM3.32) setiap kaki persegi berbanding empat jenis projek jualan semula yang lain di Bukit Timah.
Perfect Ten telah dianugerahkan Pembangunan Kondo Mewah Terbaik, Reka Bentuk Dalaman Kondo Mewah Terbaik dan Reka Bentuk Seni Bina Kondo Mewah Terbaik (Dipuji) di PropertyGuru Asia Property Awards 2022.
Menurut OrangeTee & Tie Research & Analytics, penawaran perumahan akan dipertingkat yang boleh membantu menstabilkan harga pada 2023 di Singapura.
“Kira-kira 11,000 kediaman baharu dijangka dilancarkan untuk jualan manakala lebih 20,000 bertanah, bukan bertanah dan kondo eksekutif dijangka siap,” katanya dalam laporan Prospek Pasaran Jualan Kediaman Persendirian 2023.
Dengan lebih banyak pelancaran, ia menganggarkan bahawa jumlah jualan baharu dijangka meningkat kepada antara 8,500 dan 10,000 unit pada 2023.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, ia tidak menjangka pembetulan harga yang besar pada tahun depan.
“Pekerjaan yang kukuh mengekalkan kuasa harga penjual dan mereka mungkin tidak cenderung untuk menurunkan harga terlalu berlebihan.
“Bagaimanapun, harga rumah akan menjadi keutamaan kepada kebanyakan pembeli berikutan mereka menghadapi ketidaktentuan dalam persekitaran landskap inflasi dan kadar faedah yang berubah dengan cepat.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat dan pelbagai langkah untuk membendung kenaikan harga hartanah boleh mengekang kadar pertumbuhan harga,” katanya.
Berdasarkan era kadar faedah rendah mungkin tidak kembali dalam masa terdekat, laporan itu menyatakan kebanyakan pembeli dijangka berhemat dalam pembelian rumah mereka.
Selain itu, gelombang varian COVID-19 yang berterusan, kemelut politik dan pergolakan awam di pelbagai negara, tekanan inflasi dan kenaikan kadar akan terus mempengaruhi sentimen belian.
“Oleh itu, harga rumah persendirian diunjurkan meningkat pada kadar yang perlahan pada sekitar 5.0 peratus-8.0 peratus pada 2023, merosot daripada 9.0 peratus-11 peratus pada 2022,” katanya.
Laporan itu turut menyatakan jurang antara jangkaan harga pembeli-penjual boleh menyebabkan kurang urus niaga dimuktamadkan atau urus niaga mengambil masa yang lebih lama untuk dimeterai.
“Kelembapan ini mungkin dapat dikurangkan dengan lebih banyak rumah siap sedia untuk dijual semula,” katanya.
Katanya impak bersih dijangka menyaksikan permintaan rendah, dengan kira-kira 19,000-22,500 rumah persendirian melalui proses urus niaga pada 2023, merosot daripada 20,700-21,800 unit pada 2022, dan di bawah 33,557 unit pada 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial