KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Compugates Holdings Bhd bercadang untuk mempelbagaikan perniagaan sedia ada dengan membabitkan pembangunan hartanah dan ladang gaharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata aktiviti perniagaan terasnya pada masa ini terdiri daripada perdagangan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan serta pertanian.
Bagaimanapun, ia juga menyatakan bahawa "sumbangan hasil daripada segmen perdagangan, perkhidmatan dan pembangunan hartanah kumpulan itu diperoleh sepenuhnya daripada perniagaan perdagangan dan perkhidmatannya, dan kumpulan itu tidak merekodkan sebarang sumbangan hasil daripada aktiviti berkaitan pembangunan hartanah."
Dalam makluman itu juga, ia menyatakan anak syarikat 70 peratus miliknya iaitu Compugates Development and Mining Sdn Bhd (CDMSB) memiliki 25.09 hektar dan 14.16 hektar tanah di Cybersouth, Dengkil, Selangor dan syarikat ingin “mengurangkan pergantungannya pada” perniagaan perdagangan dan perkhidmatan.
Dengan perjanjian usaha sama antara CDMSB dan Jade Classic Sdn Bhd (JCSB) pada 28 Nov, 2017, mereka telah bersetuju untuk menjalankan projek pembangunan di tapak seluas 25.09 hektar dengan JCSB sebagai pemaju dan CDMSB mempunyai bahagian daripada nilai pembangunan kasar (GDV), atau RM46 juta daripada fasa 1 (GDV: RM230 juta). Terdapat lima fasa dalam projek tersebut.
Jualan dijangka bermula pada separuh kedua 2023 dan kumpulan itu mungkin mula menerima bahagian keuntungannya menjelang akhir 2023, katanya.
Cadangan mempelbagaikan perniagaan ke dalam ladang gaharu akan membolehkannya mengembangkan segmen pertanian sedia ada dengan menyediakan perkhidmatan inokulasi dan/atau penjualan resin gaharu dan derivatif lain, yang mewujudkan aliran pendapatan tambahan.
Segmen pertaniannya kini terdiri daripada ladang kayu gaharu seluas 21.85 hektar di Kuala Kangsar, Perak dengan penanaman 20,312 batang pokok itu.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan