AM

ACFIN MULAKAN TUGAS DALAM EMPAT BIDANG TUMPUAN MENGIKUT MANDAT PERDANA MENTERI

31/03/2023 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN) telah memulakan tugasnya dalam empat bidang tumpuan mengikut mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Bersama Sekretariat, Nurul Izzah Anwar berkata empat bidang tumpuan itu adalah hasil dan perbelanjaan kerajaan; subsidi dan perlindungan sosial; syarikat berkaitan kerajaan serta hutang negara.

“Empat pasukan petugas telah ditubuhkan (satu untuk setiap bidang tumpuan). Para penasihat telah bertemu dengan Perdana Menteri untuk menetapkan hala tuju dan jangkaan jawatankuasa kami.

“Kerja kami adalah selaras dengan agenda kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan rancangan untuk menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media mengenai perkembangan terkini ACFIN di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata jawatankuasa penasihat itu mendapati banyak kajian dan semakan telah dilakukan sebelum ini membabitkan empat bidang tumpuan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Oleh yang demikian, jawatankuasa penasihat ini berusaha untuk mengesahkan kajian dan semakan terdahulu serta menyediakan perspektif baharu melibatkan perkara yang sesuai, katanya.

“Kami berusaha untuk tidak membuang terlalu banyak masa atau usaha melakukan sesuatu yang telah ada namun penting untuk ambil perhatian bahawa dengan keazaman politik, kami perlu memperkasakan, menemui bakat dalam perkhidmatan awam dan ekosistem yang lebih besar,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa peranan utama jawatankuasa penasihat di bawah Pengerusi Tan Sri Hassan Marican, serta ahli lain adalah mengadakan sesi libat urus dan memberi nasihat kepada Menteri Kewangan.

Sementara itu Ketua Bersama Sekretariat, Khairil Anuar Ramli pula berkata laporan akhir ACFIN akan diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berkata walau bagaimanapun, ia adalah hak mutlak sepenuhnya Menteri Kewangan sama ada menerima atau tidak input jawatankuasa itu serta untuk memutuskan tindakan wajar seterusnya.

Mengenai garis masa penyediaan laporan itu, beliau berkata sekretariat tidak bekerja berdasarkan tarikh akhir yang khusus.

“Ini bukan kerja tergesa-gesa. Isu-isu ini adalah berstruktur dan ia bersifat legasi. Terdapat keperluan untuk penilaian mendalam dan semakan menyeluruh supaya kami boleh mengemukakan laporan dengan pandangan jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa penasihat ini menekankan keperluan untuk melakukan semakan dan kajian yang sewajarnya termasuk kerjasama dan pensindiketan yang cukup dengan semua pihak berkepentingan berkaitan untuk menghasilkan syor yang objektif, adil, mampan, komprehensif demi kepentingan jangka masa panjang negara.

“Memandangkan kerumitan, proses ini memerlukan pertimbangan yang berhati-hati,” katanya.

ACFIN ditubuhkan oleh Anwar pada 7 Feb, 2023 untuk menasihati beliau sebagai Menteri Kewangan.

Ahli jawatankuasa lain antaranya Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sapawi dan Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Yeah Kim Leng.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan