ALOR SETAR, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini memberi perhatian terhadap usaha membendung penyebaran ekstremis militan Daesh yang mula telah dikesan dalam media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia supaya penyebarannya tidak terus berleluasa mempengaruhi umat Islam dalam negara.
"Seperti dilaporkan media, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara menyatakan ada bibit-bibit permulaan penggunaan media sosial untuk sebar ekstremis militan Daesh dan kita (KKD) nak pastikan ia dibendung segera, cantas awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi town hall bersama warga kerja KKD Kedah di Auditorium RTM Kedah di sini.
Turut serta ialah Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Roslan Ariffin.
Semantara itu Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ahad ini bagi meneliti kes yang melibatkan kandungan berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) di media sosial.
"...kerisauan dalam kalangan Raja-Raja Melayu.. satu perkembangan dirasakan tidak sihat iaitu ekstremisme… dan kerisauan dalam kalangan sekumpulan ulamak ialah menjurus kepada fahaman takfiri (iaitu) kafir mengkafir, itu yang merisaukan Raja-Raja Melayu, jadi menjadi tanggungjawab saya yang menjaga komunikasi dan digital untuk mencari jalan (penyelesaian),” katanya.
Fahmi seterusnya menyuarakan harapan agar warga kerja KKD tidak terlibat dalam isu politik, dan perlu berkhidmat sebaiknya menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan keterlaluan,” katanya yang turut menyeru warga kerja KKD melaksanakan tugas sebagai penjawat awam dengan penuh berintegriti sekali gus bebas daripada amalan rasuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial