BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

BANDUAN BUNUH RAKAN SATU SEL DIDAKWA

29/03/2023 03:35 PM

MELAKA, 29 Mac (Bernama) -- Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakan satu sel selepas terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Februari lepas.

Mohd Fahrur Radzi Chahat, 34, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar, 47, di sebuah bilik di Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang, kira-kira 2.15 petang pada 17 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Majistret Mazana menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pada 24 Feb lepas, media melaporkan seorang banduan warga Indonesia berusia 47 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka selepas tujuh hari menerima rawatan akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan satu sel di Kompleks Penjara Sungai Udang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan