JOHOR BAHRU, 28 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.
Loke yang tiba di Johor bersempena lawatan kerja sehari beliau, turut mempersembahkan taklimat serta perkembangan projek infrastruktur berkaitan pengangkutan yang sedang dilaksanakan di negeri itu.
Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu menyentuh perkembangan kerja-kerja berkaitan Projek Sistem Transit Rapid (RTS), Projek Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).
Hantaran itu memaklumkan sesi menghadap Sultan Johor adalah kelaziman bagi perwakilan asing mahupun pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan yang mengadakan lawatan kerja ke Johor, bagi mempersembahkan perkembangan projek atau program-program yang dijalankan di negeri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial