BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 EKONOMI

CHANG SERTAI LAWATAN PM KE CHINA, INTAI PELUANG PELABURAN BERKAITAN SAINS, TEKNOLOGI, INOVASI

28/03/2023 08:59 PM

SHAH ALAM, 28 Mac (Bernama) -- Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang akan menyertai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bermula esok hingga 1 April berharap dapat bertemu dengan rakan sejawatnya di sana untuk membincangkan aspek berkaitan sains, teknologi dan inovasi serta peluang pelaburan. 

Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan adalah membabitkan perkembangan dalam bidang kenderaan elektrik, teknologi angkasa dan pelaburan oleh syarikat berkaitan teknologi. 

“Kita berharap lawatan ini akan menghasilkan kerjasama bagi menaik taraf pelaburan berkaitan teknologi. Malah, banyak pelabur China berminat untuk melabur di Malaysia, cuma di peringkat yang berbeza. Ada yang sudah di peringkat akhir, ada yang baru bermula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Subplace di sini hari ini.

Beliau berkata semasa lawatan itu, selain perbincangan lanjut antara kementeriannya dengan beberapa syarikat berkaitan teknologi, sesi itu akan turut melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi urusan pelaburan. 

Walaupun lawatan tersebut bukan misi perdagangan negara, beliau berkata pihaknya akan memanfaatkan peluang tersebut untuk berbincang lebih lanjut dengan rakan sejawat dan syarikat berkaitan teknologi di negara itu yang berminat untuk melabur di Malaysia.  

Sementara itu, mengenai rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan syarat lesen operasinya di Malaysia, Chang berkata pendengaran rayuan itu akan dibuat pada akhir April. 

Sebelum ini, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan residu penulenan air larut lesap (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti pemecahan dan larut lesap (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia. 

“Pada Februari lepas, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas tetapi mengekalkan empat syarat tersebut, dan Lynas mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan dan mereka telah menghantar rayuan itu.

“Saya akan mempengerusikan sesi pendengaran itu dan keputusan akan dibuat selepas sesi berkenaan, namun tiada had masa,” katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan