BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 DUNIA

AGENSI BERITA VIETNAM, MALAYSIA BOLEH BELAJAR DARIPADA SATU SAMA LAIN

28/03/2023 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Vietnam (VNA) boleh mempelajari antara satu sama lain dalam persekitaran media yang sentiasa berubah, kata ketua pegawai eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Roslan, dalam temu bual eksklusif dengan VNA di sini baru-baru ini berkata bahawa kedua-dua agensi berita nasional itu telah menandatangani perjanjian pertukaran berita pertama mereka pada 8 Dis 1982, yang kemudiannya diperbaharui pada 1991, 2015 dan 2022.

“(Sejak itu) perjanjian itu telah memudahkan aliran berita antara kedua-dua negara, menyalurkan maklumat yang mencukupi agar rakyat kedua-dua negara memperoleh perspektif yang betul tentang perkembangan global, sama ada politik, ekonomi atau sosial, ” beliau dipetik sebagai berkata oleh VNA.

Roslan berkata Bernama sebelum ini telah menempatkan seorang koresponden di Hanoi dari Januari 1994 hingga Mac 1998 tetapi terpaksa menutup pejabatnya berikutan krisis kewangan Asia.

Bernama sedang mempertimbangkan untuk membuka semula pejabat itu, katanya sambil melahirkan rasa gembira kerana VNA telah menubuhkan sebuah biro di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif itu berkata dalam melaporkan dan menyebarkan berita dan maklumat tentang Malaysia dan Vietnam, adalah dinasihatkan untuk berpandukan Visi Kesalinghubungan ASEAN 2025 iaitu "mewujudkan rangkaian serantau membabitkan individu dan infrastruktur bagi menambah baik cara hidup, bekerja dan mengembara".

Bagi meningkatkan lagi persefahaman antara rakyat kedua-dua negara, beliau mencadangkan kedua-dua negara mempelajari mengenai satu sama lain dengan lebih lanjut.

"Ini boleh dicapai dengan menyediakan lebih banyak kandungan mengenai perkembangan politik, ekonomi dan sosial melalui teks perkhidmatan wayar dan gambar, video, grafik dan platform media sosial," katanya.

Rakyat Malaysia juga perlu digalakkan untuk melawat Vietnam dan begitu juga sebaliknya supaya dapat menimba pengalaman sendiri di negara terbabit, kata Roslan.

“Adalah perlu untuk menghasilkan kandungan teks dan visual mengenai trend budaya dan pelancongan kedua-dua negara dengan cara yang lebih konsisten, bukan bersifat sementara. Tarikan pelancong boleh dipromosikan menerusi platform media sosial,” katanya. 

Seterusnya, beliau berkata Malaysia dan Vietnam harus mengenal pasti dan mencipta peluang untuk rakyat Vietnam menceburi bidang perniagaan di Malaysia dan sebaliknya.

Matlamat kerjasama ekonomi ASEAN adalah untuk mewujudkan rantau ekonomi yang stabil, makmur dan berdaya saing tinggi,” tegas beliau.

Roslan mencadangkan agar BERNAMA dan VNA mempertimbangkan untuk meningkatkan hubungan dalam pertukaran berita melalui latihan dan program bersama. 

Mengenai berita palsu, Roslan berkata ia menjadi masalah utama masyarakat moden, termasuk Malaysia.

Beliau berkongsi bahawa agensi berita negara itu telah menubuhkan unit semakan faktanya sendiri yang dipanggil MyCheck Malaysia yang membantu menyemak kandungan disyaki berita palsu, maklumat salah. 

Antara 2020-2022, MyCheck telah menyemak 215 kandungan kontroversi yang dikongsi secara meluas oleh netizen, 15 daripadanya berkaitan dengan COVID-19 dan 22 mengenai politik. 

“Kami percaya bahawa pertukaran berita dua hala dan pelbagai hala penting dalam menangani berita palsu rentas sempadan. 

Walaupun kami mungkin dapat mengesahkan berita palsu membabitkan negara kami, mungkin tidak mudah berbuat demikian jika berita palsu itu berasal dari negara lain. Di sinilah pertukaran berita dapat dimanfaatkan,” kata Roslan. 

“Bernama juga berusaha untuk mengadakan beberapa perjanjian dengan organisasi utama untuk mendidik orang ramai mengenal pasti berita palsu dan menghentikan penyebarannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan