KOTA KINABALU, 27 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar mengambil langkah drastik dalam menangani krisis air yang sejak sekian lama berlarutan di kawasan Parlimen berkenaan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata projek Loji Rawatan Air Telibong Dua di Tuaran perlu diberi fokus untuk disiapkan segera.
"Ini bukan lagi isu bekalan air biasa tetapi krisis air. Lebih 300,000 penduduk Sepanggar bergantung harap terhadap kecekapan JANS menyelesaikan masalah ini.
"Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah infrastruktur dan air di negeri ini khususnya dalam konteks pemberian peruntukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai sebuah poster yang tular mengajak penduduk berhimpun di pejabat JANS di sini hari ini, Mustapha meminta penduduk yang mahu mengutarakan masalah air supaya mengikut saluran yang betul.
"Saya menyarankan pihak-pihak yang ingin membuat demonstrasi agar berunding secara baik dengan JANS dan mendengar taklimat berkenaan isu air di kawasan masing-masing," tambahnya.
Tinjauan Bernama di pejabat JANS di sini mendapati tiada perhimpunan diadakan penduduk sepertimana poster yang tular di media sosial itu.
Sementara itu, Mustapha berkata pihaknya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu penempatan setinggan di kawasan Sepanggar yang turut dikaitkan dengan kegiatan mencuri air sebelum ini.
"Satu mekanisme baharu perlu dicari dan diteliti bagi menyelesaikan isu penempatan setinggan di Parlimen Sepanggar dengan mengambil kira aspek kemanusiaan tanpa mengabaikan kepentingan penduduk Sepanggar secara amnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial