EKONOMI

Principal syorkan program padanan untuk tingkatkan simpanan

26/03/2023 04:07 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) --  Majikan dan kerajaan disaran memperkenalkan program padanan bagi meningkatkan tahap pemahaman serta keinginan untuk menyimpan lebih banyak dalam mempersiapkan rakyat Malaysia ke arah persaraan yang lebih baik.

Naib Presiden Eksekutif Principal Financial Group Thomas Cheong berkata tahap kesedaran kewangan untuk persaraan di Malaysia adalah rendah dan menjelang 2040, kumpulan umur tertua terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas diunjur menguasai 14.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Berdasarkan kepada statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sebuah negara berada pada status negara yang menua apabila tujuh peratus daripada jumlah penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas, kata Cheong yang juga Presiden Principal Asia.

Mengenai cadangan simpanan secara padanan, beliau berkata ia boleh dikendalikan sebagai insentif "one-off".

“Jika pekerja menyimpan jumlah tertentu, syarikat atau kerajaan boleh memadankan jumlah simpanan itu pada peratusan tertentu. Ini mempelbagaikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dan juga meningkatkan keupayaan kewangan mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Beliau menambah beberapa syarikat telah bekerjasama dengan Principal Asset Management untuk menjalankan inisiatif sedemikian bagi meningkatkan simpanan persaraan, dan berpendapat  amalan itu boleh diperluaskan dan digalakkan.

“Daripada pengalaman kami, kami ada melihat penambahan dalam simpanan sukarela yang secara langsung telah meningkatkan kestabilan kewangan penyimpan pada masa hadapan,” katanya.

Cheong berkata inisiatif ini boleh menjadi antara penyelesaian dalam jangka masa panjang memandangkan Malaysia menuju ke arah negara menua dan tidak cukup bersedia untuk persaraan.

Beliau menambah hanya separuh daripada mereka dalam tenaga buruh mencarum kepada KWSP atau pencen kerajaan, manakala separuh lagi terutamanya dalam sektor ekonomi tidak formal dan gig tanpa perlindungan pencen hari tua.

Beliau seterusnya berkata dengan hanya tiga peratus pesara Malaysia mampu bersara sementara dua juta lagi yang bekerja dalam ekonomi gig tidak mempunyai rancangan yang kukuh untuk bersara, ia adalah situasi  yang membimbangkan.

Berdasarkan kajian terbaru KWSP, kira-kira 6.6 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Dengan jangka hayat yang lebih panjang, inflasi dan peningkatan kos penjagaan kesihatan, rakyat Malaysia memerlukan simpanan persaraan tambahan untuk melengkapkan simpanan wajib mereka," katanya.

Sementara itu, beliau menambah Principal turut meningkatkan program celik kewangannya melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk mendidik pelajar tentang pengurusan wang asas dan pelaburan.

Beliau turut menyarankan agar ibu bapa mengajar anak-anak mereka tentang tabiat menabung dan nilai wang sejak kecil untuk memastikan mereka tidak '’tersasar'’ selepas mendapat gaji pertama atau pinjaman/kredit.

Sehubungan itu, Principal telah memperluaskan tawaran persaraannya dengan menyediakan  'entry point' sebanyak RM100 untuk dana skim persaraan swasta (PRS).

Pelabur boleh menikmati pelepasan cukai individu untuk sumbangan sehingga RM3,000 setiap tahun, bersamaan pelepasan cukai tahunan sebanyak RM840.

Principal Asset Management Bhd ialah usaha sama antara Principal Financial Group dan CIMB Group Holdings Bhd. Ia memberi tumpuan kepada pengurusan pelaburan dan penyelesaian persaraan total.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan