BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

Acar ikan kering laris, pengusaha tak menang tangan penuhi permintaan

26/03/2023 02:35 PM

GUA MUSANG, 26 Mac (Bernama) -- Memasuki bulan Ramadan, pengusaha acar ikan kering Tengku Hayati Akmal Tengku Hitam tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap hidangan pembuka selera dan pelengkap hidangan utama ketika berbuka puasa dan bersahur.

Pesara kerajaan berusia 65 tahun itu berkata acar ikan kering yang dihasilkannya mempunyai gabungan rasa masam, manis, masin dan pedas ditambah dengan bawang  jeruk yang rangup.

"Bahan yang digunakan untuk penyediaan adalah ikan kering jenis cencaru, cuka, cili dan lada, halia dan bawang merah halus. 

"Rasa ini yang membuatkan ia tidak mudah muak bahkan selalunya akan menambahkan lagi selera makan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Wangi, di sini. 

Bercerita mengenai rahsia resipi acar ikan kering yang dihasilkannnya, Tengku Hayati yang mesra disapa Mokku Yati berkata bawang merah Thailand merupakan bahan paling penting dalam menu itu.

"Namun begitu bawang merah Thailand semakin sukar didapati semenjak tiga tahun lalu. 

“Saya pernah terpaksa menolak dan membatalkan tempahan di saat akhir kerana ketiadaan bekalan bawang ini walaupun telah berulang-alik ke Kota Bharu semata-mata untuk mendapatkan bawang jenis itu namun bekalan tetap tiada,” katanya yang sudah enam tahun menjual acar ikan kering.

Ditanya mengenai pelanggan acar ikan kering itu, Mokku Yati berkata dia mempunyai pelanggan setia dari Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Singapura.

“Saya mempunyai pelanggan dari Singapura yang sanggup membayar kos penghantaran yang mahal dan beliau akan meminta saya membuat dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan stok makanannya di sana," katanya.

Tambah beliau, pendapatan yang diperoleh bergantung kepada bilangan tempahan yang diterima malah menjadi lebih tinggi ketika musim kenduri dan bulan Ramadan. 

“Saya jual pada harga RM12 sebekas seberat 200 gram. Pendapatan yang saya peroleh dalam sebulan tidak menentu memandangkan penghasilan acar ini dapat dibuat mengikut bekalan bawang merah.

“Selain dihidang sebagai lauk tambahan dalam majlis, acar ini juga dijadikan hamper dan sagu hati,” katanya yang pernah menghasilkan sehingga 400 bekas acar setiap bulan.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan