BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

Enam fasiliti terjejas teruk banjir akan dibaik pulih dalam tempoh enam bulan - Dr Zaliha

26/03/2023 01:20 PM

SEGAMAT, 26 Mac (Bernama) -- Enam fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor yang terjejas teruk akibat banjir, akan dibaik pulih dalam tempoh enam bulan.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata enam fasiliti itu terdiri daripada Klinik Kesihatan Chaah, dan lima Klinik Desa (KD) di Kampung Tengah, Kampung Jawa, Kampung Jabi, Tenang Station dan Desa Temu Jodoh, kesemuanya di Segamat.

"Jumlah kerosakan kita anggarkan RM1.8 juta dan kos baikpulih fasiliti dianggarkan RM750,000 untuk semua fasiliti yang terlibat. Jumlah (peruntukan untuk) baik pulih ini telah diluluskan," katanya kepada pemberita selepas melawat KD Kampung Tengah, di sini, hari ini. 

Katanya setakat ini hanya KD Kampung Tengah yang dikenal pasti akan dipindahkan ke kawasan baru, kerana klinik itu bukan sahaja terdedah dengan kejadian banjir, malah kedudukannya dilihat agak dekat dengan jalan raya, dan pernah berlaku kemalangan melibatkan lori sekitar kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya telah meninjau suatu kawasan yang akan dipertimbangkan sebagai lokasi baharu klinik desa kampung berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal klinik itu.

Sementara itu merujuk kepada saranan agar KKM mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak kepada satu sistem yang bebas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, Zaliha berkata ia merupakan pandangan yang baik, dan cadangan itu boleh dipertimbangkan.

"Komen saya, itu pandangan yang baik. Kita boleh pertimbangkan, tetapi seperti biasa, ia bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan cepat kerana ia melibatkan ekosistem perkhidmatan itu sendiri," kata Ahli Parlimen Sekijang itu.

Jumaat lepas, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dilaporkan menggesa KKM mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak sekiranya berhasrat meningkatkan kualiti di sektor itu.

Menurut Dr Zainal kerajaan perlu mewujudkan sistem yang bebas agar kebajikan kumpulan berkenaan dapat ditambah baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan