EKONOMI

Swift Haulage beli tambahan 17.5 peratus pegangan dalam Global Vision Logistics pada harga RM19.16 juta

24/03/2023 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Swift Haulage Bhd (SHB) memperoleh 437,500 saham biasa dan 1.31 juta saham keutamaan, mewakili 17.5 peratus kepentingan dalam Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVLSB) pada harga RM19.16 juta.

GVLSB adalah 30 peratus syarikat bersekutu Aspen Group Holdings Ltd.

SHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia telah memeterai perjanjian untuk penjualan dan pembelian saham GVLSB dengan Aspen Vision Properties Sdn Bhd.

Selepas pengambilalihan itu selesai, kepentingan ekuitinya dalam GVLSB akan meningkat kepada 42.5 peratus dan GVLSB akan menjadi syarikat bersekutu SHB.

“Pertambahan kepentingan pegangan saham dalam GVLSB memberikan peluang kepada kumpulan SHB untuk terus mengembangkan pendedahannya dalam industri pergudangan di Malaysia.

“GVLSB ialah pemegang pajakan tanah seluas 28.96 hektar dan kini dalam proses pembangunan sebuah gudang,” katanya.

Apabila siap, pembangunan itu akan menempatkan kira-kira enam juta kaki persegi ruang gudang yang akan dibangunkan secara berperingkat.

SHB berkata perjanjian itu dijangka selesai dalam tempoh lima bulan dari tarikh pelaksanaan perjanjian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan