AM

Manfaatkan Ramadan untuk bentuk penyatuan ummah - Ahmad Zahid

24/03/2023 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat khususnya yang beragama Islam memanfaatkan bulan Ramadan untuk membentuk penyatuan ummah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbezaan pendapat dan ideologi politik tidak seharusnya memecahbelahkan perpaduan yang dibina selama ini.  

“Ramadan ini kita lupakan perkara-perkara ketidaktentuan dalam hal pandangan yang berbeza...kita tak mahu ummah kerana terlalu melayankan perbezaan akan mengakibatkan kabilah yang taksub pada kumpulan tertentu.

Apatah lagi dalam kita tangani ada yang mendakwa mereka lebih Islam daripada orang lain, kumpulan itu lebih iman dari orang lain, guna hadis, guna al-Quran, itjmak ulamak dan qias mengikut selera masing-masing, kita lupakan itu semua, perbezaan warna-warna ini harus kita singkirkan daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Batu 8, Gombak Utara, dekat sini hari ini.

Majlis yang pertama kali diadakan itu akan diteruskan di 12 negeri lagi sepanjang Ramadan ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mahu semua pihak yang membentuk Kerajaan Perpaduan terus mengeratkan hubungan seterusnya membentuk keserasian antara satu sama lain.

Beliau berkata ia penting kerana keakraban dalam kalangan pentadbir dan pegawai di semua peringkat akan membolehkan permasalahan rakyat ditangani dengan berkesan.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan