KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dijangka dibenarkan melaksanakan 5G berdasarkan spektrum sedia ada masing-masing menerusi Perkongsian Spektrum Dinamik (DSS), berserta pelaksanaan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) oleh Digital Nasional Bhd (DNB), menurut penyelidikan CGS-CIMB Securities.
DSS membolehkan penggunaan Evolusi Jangka Panjang (LTE) yang selari dan 5G dalam jalur frekuensi yang sama. Teknologi ini menentukan permintaan terhadap 5G dan LTE dalam masa sebenar.
Menurut kenyataan pada Jumaat, penyelidikan CGS-CIMB menjelaskan DSS tidak akan menawarkan kelajuan yang lebih pantas berbanding 4G, sebaliknya ia akan giat memperluas liputan 5G (selain membenarkan pengagregatan pembawa masa depan dengan spektrum sub-6GHz baharu).
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan memandangkan MNO kebanyakannya boleh mereplikakan liputan 4G semasa mereka hanya dengan melakukan peningkatan perisian.
“Jika ketelusan dipertingkatkan dan DSS 5G (dengan mengubah suai skop pelaksanaan oleh DNB) membawa kepada pengurangan kos pelaksanaan 5G, dengan demikian fi borong menjadi lebih rendah, kami yakin ini akan membantu melonjakkan unjuran keuntungan teras sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 untuk MNO, dan lebih banyak lagi dalam jangka masa panjang,” jelas penyelidikan firma pembrokeran itu.
Menurut CGS-CIMB, kerajaan sedang menyemak pelaksanaan SWN 5G dan ia dijadualkan membuat keputusan akhir pada penghujung bulan ini.
Selepas pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah berbincang dengan semua pihak firma telekomunikasi dan mengesahkan bahawa Malaysia akan mempercepat liputan 5G kepada 80 peratus menjelang akhir 2023, daripada akhir 2024, tambahnya.
“Beliau juga berkata pada 9 Mac bahawa kerajaan akan menghormati kontrak yang ditandatangani untuk pelaksanaan 5G oleh DNB, yang mencadangkan pembubaran DNB adalah tidak mungkin berlaku pada pandangan kami,” menurut CGS-CIMB.
Penyelidikan itu juga menjelaskan, satu lagi senario yang berpotensi adalah perubahan kepada model DwiRangkaian Borong (DWN) 5G, dengan DSS 5G dibenarkan.
“Ini akan menjadi lebih sukar, memandangkan ia melibatkan penguntukan semula spektrum 5G kepada DNB dan rangkaian 5G kedua, yang mungkin dimiliki oleh MNO yang tidak memegang kepentingan dalam DNB sebelum ini seperti Maxis dan U Mobile,” jelasnya.
CGS-CIMB menambah bahawa kerajaan mungkin melepaskan pegangan dalam DNB, menjadikan kedua-dua rangkaian 5G itu dipacu secara swasta.
“Jika kos spektrum dan liputan/kualiti keperluan perkhidmatan tidak terlalu punitif, ia akan serupa dengan era sebelum SWN, menggambarkan bahawa MNO terlibat secara komersial dalam perkongsian rangkaian aktif untuk mengurangkan kos pelaksanaan 5G,” menurut CGS-CIMB.
Penyelidikan CGS-CIMB juga berpendapat bahawa setiap rangkaian 5G sewajarnya membabitkan kos secara kasarnya sama dengan SWN yang dilancarkan secara cekap kos (namun secara keseluruhan adalah lebih) namun, dengan pembahagian trafik dua laluan, kos bagi setiap GB akan menjadi lebih tinggi, bagaimanapun semua yang lain kekal sama.
Walau bagaimanapun sebagai entiti dipacu secara swasta, mungkin terdapat ruang untuk menguruskan pelaksanaan itu secara lebih optimum berdasarkan permintaan trafik dan manfaat yang berpotensi daripada sekadar menjadi cekap untuk memenuhi keperluan komersial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial